Maxis lancar kempen Riang Raya
MAXIS Berhad (Maxis) melancarkan kempen sempena Aidilfitri dengan mengetengahkan teknologi dan golongan orang kurang upaya (OKU).
Ketua Pegawai Pemasaran Maxis, Tai Kam Leong berkata, kempen Riang Raya Maxis itu memaparkan cara pemuzik jalanan golongan OKU mempersembahkan lagu raya melalui kiub maya.
Katanya, kempen hasil kolaborasi bersama Persatuan OKU Sentral itu turut memberi peluang kepada orang ramai untuk berkongsi rezeki atau menderma dengan mengimbas kod QR pada kiub maya tersebut.
“Kempen ini memperkenalkan teknologi sebagai fokus utama yang mana golongan pemuzik jalanan OKU membuat persembahan di seluruh negara dari satu tempat sahaja.
“Kiub ini akan ditempatkan di dua lokasi iaitu NU Sentral, Kuala Lumpur dan Kota Bharu Mall, Kelantan manakala lagu-lagu persembahan mereka akan turut dimainkan di Maxis Store,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan kempen Riang Raya Maxis di sini pada Khamis.
Kam Leong berkata, kiub maya itu akan ditempatkan di dua lokasi bermula 21 hingga 23 April (NU Sentral) dan 27 hingga 29 April (Kota Bharu Mall).
Dalam pada itu, Maxis turut melancarkan filem pendek berdurasi lima minit bertajuk Last Kopek yang mengisahkan ketabahan sekumpulan pemuzik golongan OKU menghadapi cabaran sambil memanfaatkan kebolehan yang dimiliki.
“Filem pendek ini meraikan dorongan dan inspirasi pelbagai komuniti sambil menjemput penonton berkongsi kemeriahan hari raya menerusi muzik di platform digital,” jelasnya.
Sementara itu, Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi berkata, kempen Riang Raya Maxis memberi inspirasi kepada golongan OKU untuk mengembangkan peluang pendapatan menerusi penggunaan platform digital.
“Saya gembira kerana dapat melihat sahabat-sahabat saya diberikan peluang untuk menonjolkan bakat mereka dan berharap agar semua di luar sana menghargai bakat ini,” ujarnya.
Orang ramai boleh menonton filem pendek Last Kopek menerusi laman web www.maxis.com.my/en/campaigns/raya-2022/ bermula Khamis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!