Membeli sambil menderma bersama Indra Valley
SUBANG JAYA - Sebanyak 50 sen akan disumbangkan ke tabung Mydin Prihatin dengan setiap pembelian beras lima kilogram jenama Indra Valley di semua cawangan Mydin seluruh negara.
Pengarah Urusan Masyhur Ke Puncak Sdn Bhd, Jessica Supayah berkata, sumbangan tersebut menjadi satu tanggungjawab sosial korporatnya sekali gus membantu masyarakat yang kurang berkemampuan untuk menyambut hari raya melalui tabung Mydin Prihatin itu.
"Sebanyak 50 sen dengan pembelian beras tersebut akan dikumpul oleh tabung Mydin Prihatin dan akan disumbangkan kepada keluarga yang kurang berkemampuan untuk menyambut hari raya nanti.
"Kami gembira dan teruja untuk turut sama dalam program Mydin Prihatin ini dan dalam masa sama ia juga peluang untuk orang ramai menderma dengan cara membeli beras jenama Indra Valley ini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Beliau yang juga pemilik jenama Indra Valley berkata, pihaknya juga akan mengadakan program agihan bubur lambuk di Mydin Subang Jaya pada Sabtu ini.
"Sebanyak 2,000 paket akan diagihkan kepada pengunjung Mydin dan kepada komuniti Subang Jaya seperti di balai polis dan masjid," katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu pelanggan turut berpeluang untuk mendapatkan harga promosi beras keluaran Indra Valley bermula 21 April sehingga 14 Mei ini.
"Harga promosi ini sah kepada semua pemegang kad Meriah Mydin dan pelanggan boleh membeli beras ini di seluruh rangkaian Mydin di seluruh negara.
"Sebagai contoh, Indra Valley Aromatic Basmathi Rice ini harga biasa yang dijual di Mydin adalah RM54, tetapi pelanggan boleh dapatkan dengan harga RM48.99 sahaja," katanya.
Berkongsi mengenai jenama Indra Valley, Jessica menjelaskan beras keluaran syarikatnya itu sudah berada di pasaran sejak empat tahun lalu dan mendapat sambutan baik daripada pelanggan.
"Saya mahu memastikan setiap pelanggan mendapat beras yang berkualiti dan menjadi impian saya juga mahu membawa jenama ini dikenali di seluruh pelusuk dunia," katanya.
Indra Valley mengeluarkan lima jenis beras iaitu Aromatic Basmathi, Golden Pusa 1121 Basmathi, Pusa 1121 Sela Cream Basmathi, Super Deluxe Ponni Parboiled dan Super Delux Ponni Steam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!