Bantal busuk anak jadi pengubat rindu
PARIT - Bantal busuk dan sehelai kain lampin milik dua beradik yang terkorban dalam kebakaran rumah kedai di Bandar Seri Iskandar pada Khamis menjadi satu-satunya tinggalan buat pengubat rindu ibu bapa mereka.
Kedua-dua barang berkenaan antara yang terselamat tanpa sebarang kesan kebakaran meskipun tingkat dua bangunan rumah kedai itu musnah hampir 70 peratus.
Mohd Fazlan Nizam Mohamed Hamidi, 37, berkata, bantal busuk dan kain lampin itu dijumpai di tempat tidur anaknya ketika dia dan isteri, Mimi Doleng, 28, melihat keadaan bilik mereka yang terbakar pada pagi Jumaat.
"Kami ke sana untuk melihat kalau-kalau masih ada barang elok yang tinggal untuk disimpan.
"Tak sangka pula bantal busuk milik anak lelaki dan kain lampin anak perempuan saya yang selalu digunakan sebagai selimut ketika tidur masih elok, langsung tak terbakar sedangkan mainan dan pakaian lain semua terbakar.
"Syukurlah, sekurang-kurangnya dapat juga dijadikan pengubat rindu dan peneman kami ketika tidur," katanya ketika ditemui pemberita sempena lawatan Polis Daerah Perak Tengah ke kediamannya di Taman Tasek Putra, Tronoh pada Jumaat.
Lawatan diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Deputi Superintendan Mohd Uzir Ismail itu sebagai tanda prihatin terhadap keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam tragedi terbabit.
Kejadian sekitar jam 4.30 pagi itu mengorbankan Muhammad Fahmi, 6, dan Nur Fahmia berusia enam bulan akibat sesak nafas selepas terperangkap dalam sebuah bilik di rumah kedai terbabit.
Ketika kejadian, dua beradik itu sedang nyenyak tidur di bilik hadapan tingkat dua bangunan, sementara ibu bapanya sedang bersiap untuk sahur di tingkat bawah.
Mohd Fazlan Nizam mengakui, masih terbayang dan terngiang-ngiang suara anak sulungnya memanggil abah meminta pertolongan.
Dia berkata, isterinya juga sehingga kini masih belum dapat menerima hakikat kehilangan dua anak serentak hinggakan kerap meracau memanggil nama anak.
"Isteri saya tentulah bersedih kerana dia paling rapat dan selalu ada dengan anak-anak lebih-lebih lagi yang bongsu masih menyusu badan.
"Apapun kami terima hakikat akan kehilangan ini. Terima kasih kepada semua yang mendoakan kami dan semua pihak yang membantu terutama polis dan bomba," katanya.
Beliau berkata, buat masa ini operasi restoran masakan tomyam yang diusahakannya ditutup sementara bagi kerja-kerja pembersihan.
Katanya, lima pekerjanya yang tinggal sehelai sepinggang dalam kebakaran itu pula ditumpangkan di ruang kedai sebelah sehingga mendapat bilik baharu.
"Ruang restoran tidak terjejas, mungkin dalam tempoh seminggu ini kita akan buka semula," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!