Warga emas maut disyaki dilanggar lari
PETALING JAYA - Seorang wanita berusia 89 tahun meninggal dunia dipercayai akibat dilanggar oleh kenderaan yang belum dikenal pasti dalam kejadian di Jalan Seksyen 17/21 di sini, awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan tersebut pada jam 10.59 pagi.
"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar jam 6.30 pagi. Mangsa, pejalan kaki merupakan seorang wanita tempatan berumur 89 tahun dipercayai telah dilanggar oleh sebuah kenderaan jenis yang belum dikenal pasti.
"Mangsa meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semasa menerima rawatan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian.
Katanya, saksi kejadian diminta untuk tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Navalan Ravindran di talian 014 2536820 bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!