Sukar bergaul, tidak faham pembelajaran punca ponteng sekolah

Abd Rahman (kiri) bersama pentadbir dan guru SMK Munshi Abdullah mengadakan pertemuan dengan ibu pelajar terbabit pada Jumaat.
Abd Rahman (kiri) bersama pentadbir dan guru SMK Munshi Abdullah mengadakan pertemuan dengan ibu pelajar terbabit pada Jumaat.
A
A
A

SABAK BERNAM - Sukar bergaul dengan rakan sekelas dan tidak memahami pembelajaran menjadi punca seorang pelajar Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Abdullah, Sungai Air Tawar di sini 'ponteng' sekolah sejak empat bulan lalu.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Munshi Abdullah, Datuk Dr Abd Rahman Bakri berkata, hasil pertemuan beliau dan pihak sekolah bersama ibu pelajar perempuan itu bertujuan mencari jalan penyelesaian berhubung permasalahan itu.

Menurutnya, pelajar yang tinggal di asrama sekolah itu sebelum ini tidak pernah bersekolah sejak Tingkatan Satu lagi.

"Kita menganggap perkara remeh seperti kesukaran mendapat rakan ini dapat diatasi kerana kita percaya lama-kelamaan pelajar ini boleh sesuaikan diri dalam keadaan persekitaran semasa," katanya kepada Sinar Harian semasa melakukan lawatan ke rumah keluarga pelajar terbabit di sini pada Jumaat.

Abd Rahman berkata, tujuan PIBG dan guru SMK Munshi Abdullah melakukan kunjungan ke rumah keluarga itu bagi memastikan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 itu tidak keciciran dalam pelajaran.

Selain itu, katanya, pertemuan secara bersemuka itu juga diharap dapat memberi semangat dan galakan kepada pelajar terbabit untuk meneruskan pelajaran di sekolah.

"Hari ini kita tidak dapat menemui pelajar tersebut kerana difahamkan dia ada urusan di Sungai Besar tetapi kita berjaya menemui ibunya untuk mengetahui sendiri permasalahan dihadapi.

"Kami di SMK Munshi Abdullah amat mengambil berat dan prihatin dengan pelajar yang menghadapi situasi seperti ini supaya dapat diselesaikan segera," jelasnya.

Menurut beliau, pada masa ini hanya terdapat satu kes sahaja membabitkan remaja perempuan terbabit yang tidak mahu hadir ke sekolah.

"Saya amat berharap pelajar ini dapat kembali ke sekolah dan jika ada permasalahan mengenai pembayaran yuran dan masalah kewangan, PIBG sedaya upaya mencari dana untuk membantu.

"Malah, kita akan ketengahkan isu kekangan pendidikan seperti ini untuk diatasi segera bagi membolehkan pelajar terus mendapat peluang pembelajaran tanpa sebarang halangan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!