Ops Label Produk Timur Tengah: JKNP keluar kompaun RM48,000

Pegawai penguat kuasa JKNP melakukan pemeriksaan ke atas sebuah premis perniagaan dalam Operasi Penguatkuasaan Label Produk Timur Tengah Negeri Pahang 2022 pada Rabu dan Khamis lalu.
Pegawai penguat kuasa JKNP melakukan pemeriksaan ke atas sebuah premis perniagaan dalam Operasi Penguatkuasaan Label Produk Timur Tengah Negeri Pahang 2022 pada Rabu dan Khamis lalu.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) mengeluarkan 16 notis Seksyen 32B, Akta Makanan 1983 dengan nilai kompaun RM48,000 sepanjang Operasi Penguatkuasaan Label Produk Timur Tengah Negeri Pahang 2022 pada Rabu dan Khamis lalu.

Dalam operasi itu, sebanyak 646 produk makanan disita dengan nilai sitaan RM4,983.

Dr Nor Azimi
Dr Nor Azimi

Pengarah JKNP, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, sepanjang dua hari operasi dijalankan, sebanyak 66 premis pasar raya, kedai runcit dan lain-lain premis makanan diperiksa.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikenal pasti sepanjang operasi itu termasuk label makanan yang dijual tidak mempunyai alamat pengilang, pengimport seperti peruntukan di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

"Bagi kesalahan ini, tiga kes dikesan dan diambil tindakan dengan jumlah kompaun RM10,500.

"Turut dikesan 11 kesalahan di bawah Peraturan 18(1A) dengan nilai kompaun RM33,000 yang mana pada label bungkusan produk terdapat akuan penggredan, kualiti atau kelebihan sesuatu produk seperti perkataan gred premium," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Dr Nor Azimi berkata, satu kes dikesan dengan nilai kompaun RM3,500 melibatkan kesalahan menjual produk yang telah tamat tempoh dan satu kesalahan dikesan di bawah Peraturan 10 kerana penggunaan bahasa yang salah dengan nilai kompaun berjumlah RM3,500.

Menurutnya, bagi produk import yang hendak dijual di negara ini hendaklah menggunakan bahasa Melayu atau Inggeris sahaja.

Sementara itu katanya, Operasi Penguatkuasaan Label Produk Timur Tengah Negeri Pahang 2022 bertujuan mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas pengimport, pengedar dan penjual produk-produk makanan Timur Tengah di pasaran Malaysia yang tidak mematuhi kehendak-kehendak pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983.

"Selain itu, ia bertujuan bagi memastikan produk makanan Timur Tengah yang dipasarkan di pasaran tempatan selamat dimakan oleh pengguna dan tidak mengelirukan mereka.

"Mana-mana pengimport, pengedar dan penjual yang tidak mematuhi Peraturan- Peraturan Makanan 1985 boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan," katanya.

Dr Nor Azimi berkata, JKNP mengingatkan kepada pengimport, pengedar dan penjual supaya mematuhi segala kehendak pelabelan di bawah Peraturan-Peraturan Makanan 1985, Akta Makanan 1983 agar makanan yang dijual difahami, tidak mengelirukan serta selamat dimakan pengguna.

"Pengguna juga perlu bijak memilih makanan yang dijual dengan label yang lengkap dan tidak mengelirukan bagi memastikan makanan dibeli selamat untuk dimakan.

"Sebagai sebuah organisasi yang sentiasa prihatin terhadap kepentingan orang ramai, JKNP sentiasa mengutamakan keselamatan makanan dan kesihatan orang awam," katanya.

Tambah beliau, operasi penguatkuasaan label produk Timur Tengah yang dijalankan merupakan aktiviti penting untuk memastikan semua makanan dari negara berkenaan yang dijual kepada pengguna adalah selamat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!