Lima ditahan cubaan seludup 3,000kg karkas babi hutan
TUMPAT - Cubaan lima lelaki tempatan untuk menyeludup 3,000 kilogram (kg) karkas babi hutan ke Thailand gagal apabila mereka ditahan anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan di sebuah pangkalan haram di Pangkalan Kubor, di sini pada Khamis.
Lima suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun itu ditahan sejurus anggota PGA mendapat maklumat berkait aktiviti penyeludupan pada jam 7.20 malam semasa umat Islam sedang berbuka puasa.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, kejayaan rampasan dan penahanan suspek tersebut turut dibantu oleh Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) Bukit Aman yang telah berjaya mengesan kegiatan itu.
"Sejurus dikesan, sepasukan anggota telah digerakkan untuk membuat serbuan di kawasan pangkalan haram itu," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, anggota bertugas kemudian telah berjaya menahan semua suspek dan merampas sebuah lori.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di bahagian belakang lori tersebut telah menjumpai 3,000 kg karkas babi hutan yang dianggarkan bernilai RM75,000.
Azhari berkata, kesemua barangan itu dipercayai cuba dibawa keluar secara haram ke Thailand menggunakan bot.
"Bagaimanapun, jurumudi bot tersebut berjaya melarikan diri ke Thailand," katanya.
Dalam perkembangan lain, Azhari yang juga Pegawai Pemerintah Medan berkata, pihaknya berjaya merampas tiga ekor lembu seludup selepas menahan sebuah lori di Kampung Neting, Tumpat.
"Dalam serbuan jam 9.45 malam itu, PGA turut menahan pemandu dan kelindan lori untuk membantu siasatan.
"Nilai rampasan lembu termasuk lori dianggarkan berjumlah RM37,600," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!