MBSJ beri peluang pekerjaan kepada OKU
SUBANG JAYA - Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sentiasa memberi peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) untuk bekerja bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Datuk Bandar MBSJ, Datuk Johary Anuar berkata, terdapat sejumlah kecil golongan tersebut telah diterima untuk bekerja bersama pihak Majlis dan ditempatkan di jabatan-jabatan tertentu.
"Kita memang ada warga kerja MBSJ yang merupakan golongan OKU dan biasanya mereka ditempatkan di bahagian landskap.
"Ada dua orang di Jabatan Landskap, selebihnya di jabatan lain, sememangnya kita ada kakitangan yang bekerja di MBSJ," katanya ketika sidang akhbar Perasmian Taman Permainan Inklusif di USJ 11/5, di sini pada Jumaat.
Pada hari sama, MBSJ turut merasmikan sebuah taman permainan inklusif yang direka khas untuk golongan orang kurang upaya (OKU) dan austime supaya mereka dapat beriadah di kawasan lapang dan menggunakan kemudahan sama seperti orang lain.
Ujarnya, MBSJ membina tiga set permainan untuk golongan tersebut iaitu di Taman Awam USJ 11/5 di sini yang siap dibina pada tahun lalu manakala di Jalan PP22, Pinggiran Putra dan Jalan Tempua 9, Puchong Jaya pula siap pada Februari tahun ini.
"Daripada segi ruang, ia lebih luas berbanding set permainan di taman permainan biasa yang menyebabkan mereka tidak dapat menggunakannya dengan baik atau penjaga sukar untuk bermain sekali. Selain itu, cerun dalam set permainan juga lebih rendah terutamanya untuk mereka yang berkerusi roda.
"Ini adalah komitmen MBSJ selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan Pelan Tindakan Bandar Hijau Mesra Wanita MBSJ 2019 - 2021, yang mana ia adalah kemudahan pertama kita buat di MBSJ dengan memberikan tumpukan di taman-taman bersaiz besar.
"Ketiga-tiga taman ini inklusif ini mula dibina sejak tahun 2021 dan kita akan tambah dua lagi set permainan di Puchong dan Seri Kembangan untuk tahun ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!