Burger King ambil tindakan pekerja tular video pelanggan tidak puasa
SHAH ALAM - Burger King Malaysia mengesahkan bahawa perkongsian video tular berhubung tiga pelanggan wanita yang didakwa tidak berpuasa itu dibuat oleh staf pekerja restoran makanan segera berkenaan.
Burger King Malaysia dalam kenyataan berkata, pihaknya tidak membenarkan perbuatan tersebut dan akan memastikan supaya tindakan sewajarnya diambil.
“Dengan rasa kesal, kami mengesahkan bahawa perkongsian tersebut dibuat oleh seorang pekerja Burger King Malaysia.
“Bagaimanapun, kami tidak membenarkan kelakuan sedemikian dan tindakan sewajarnya akan diambil.
“Di Burger King Malaysia, kami sangat menghargai dan menghormati privasi pelanggan kami dan oleh itu akan mengambil langkah untuk memastikan perkara ini tidak berlaku pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Pada Rabu, sebuah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tular di media sosial menunjukkan tiga orang pelanggan wanita didakwa tidak berpuasa dan tidak menghormati bulan Ramadan kerana membeli makanan di premis Burger King sebelum waktu berbuka.
Perkongsian berkenaan menimbulkan pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang mengecam tindakan staf tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!