Nenek 73 tahun tokan dadah ditahan polis

Mior Faridalathrash (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas oleh JSJN Perak menerusi Op Tapis Khas yang diadakan serentak selama tiga hari di seluruh Perak bermula Isnin lalu ketika sidang media di IPK Perak di Ipoh pada Jumaat.
Mior Faridalathrash (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas oleh JSJN Perak menerusi Op Tapis Khas yang diadakan serentak selama tiga hari di seluruh Perak bermula Isnin lalu ketika sidang media di IPK Perak di Ipoh pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Dua tokan termasuk seorang wanita warga emas antara 417 individu yang ditahan polis dalam Op Tapis Khas yang diadakan serentak selama tiga hari di seluruh Perak bermula Isnin lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, suspek berusia 73 tahun itu ditahan bersama dadah bernilai RM115,750 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Aulong Maju, Taiping kira-kira jam 7 petang pada Rabu.

"Hasil pemeriksaan menemui kira-kira 1 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamin dan 30 bungkusan plastik mengandungi heroin dianggarkan seberat 0.45kg.

"Turut dirampas peralatan membungkus dadah. Ujian saringan air kencing ke atas suspek adalah negatif dan dia direman selama lima hari untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB)1952," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini pada Jumaat.

Menurutnya, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Perak turut menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di kawasan Bandar Seri Botani, Simpang Pulai di sini.

"Polis menemui tujuh bungkusan plastik yang mengandungi heroin seberat 3.1kg bernilai RM111,580.

"Suspek yang didapati positif methamphetamin dan mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah telah direman selama enam hari untuk siasafan lanjut," katanya./p>

Mior Faridalathrash menunjukkan lokasi-lokasi serbuan Op Tapis Khas yang dilakukan serentak selama tiga hari di seluruh Perak bermula Isnin lalu ketika sidang media di IPK Perak di Ipoh pada Jumaat.
Mior Faridalathrash menunjukkan lokasi-lokasi serbuan Op Tapis Khas yang dilakukan serentak selama tiga hari di seluruh Perak bermula Isnin lalu ketika sidang media di IPK Perak di Ipoh pada Jumaat.

Mior Faridalathrash berkata, operasi yang melibatkan 273 pegawai dan anggota itu telah membuat serbuan di 14 jeti nelayan sekitar Hilir Perak, Manjung, Taiping dan Kerian serta 18 sarang penagih dadah.

"Seramai 406 lelaki dan 11 wanita berusia 16 hingga 73 tahun ditahan termasuk 26 warga asing dari negara Myanmar, Thailand, Indonesia, Laos dan Kemboja yang bekerja sebagai nelayan.

"Daripada jumlah itu, 90 individu ditahan di bawah kesalahan pengedaran dadah, 151 orang memiliki dadah dan 176 yang lain adalah penagih yang disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952," katanya.

Jelasnya, seramai 12 individu ditangkap di bawah Akta Langkah-langkah Pencegahan Khas 1985 bagi mengekang aktiviti pengedaran dadah manakala 13 individu dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki.

"JSJN Perak telah mengenal pasti 19 penagih dadah tegar yang akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C ADB 1952.

"Polis telah merampas keseluruhan 5.6kg dadah jenis heroin, syabu dan ganja selain 150kg daun ketum serta 44 liter cecair ketum bernilai RM293,918.

"Sebuah kereta, empat motosikal, wang tunai dan barang kemas bernilai RM56,598.80 turut dirampas," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!