Warga emas maut terperosok bawah MPV ketika melintas jalan
AMPANG - Seorang wanita warga emas maut ketika melintas jalan di Jalan Wawasan 2/7 Bandar Baru Ampang di sini selepas dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang membuat pusingan U pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, wanita berusia 68 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu MPV yang sedang membuat pusingan U dari Jalan Wawasan 2/4 menuju ke Jalan Wawasan 2/7 sebelum terlanggar mangsa yang sedang melintas di jalan tersebut.
"Pelanggaran itu telah menyebabkan pejalan kaki tersebut terperosok di bawah MPV.
"Mangsa yang parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berpunca akibat kecuaian pemandu MPV yang gagal memastikan lalu lintas adalah selamat sebelum membuat pusingan U.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM50,000 serta hilang kelayakan memandu selama tempoh tidak kurang lima tahun.
Jelasnya, saksi bebas yang menyaksikan kejadian tersebut diminta untuk tampil menyalurkan maklumat berkenaan kejadian.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat kejadian boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya Inspektor Nur Nadzirah Abdul Rahim di talian 012-4401093," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!