Malaysia tidak akan terima 'perkara-perkara pelik'

Dr Mahathir menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Kempen Sayangi Sawitku. -Foto Bernama
Dr Mahathir menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran Kempen Sayangi Sawitku. -Foto Bernama
A
A
A

BANTING - Kerajaan Malaysia mahu meratifikasi Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) tetapi pada masa yang sama mahu perjanjian itu tertakluk kepada keadaan di Malaysia, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, kerajaan tidak akan menerima 'perkara-perkara pelik' yang bercanggah dengan Malaysia dan hanya 'perkara-perkara yang baik' daripada perjanjian antarabangsa itu akan diterima.

"Ada perkara-perkara tertentu yang mereka mahu lakukan di bawah Statut Rome yang kita tidak boleh lakukan di negara ini.

"Sebagai contoh, Statut Rom memberikan kebebasan mutlak kepada semua orang untuk melakukan segala macam perkara. Sekarang, sudah ada lelaki berkahwin dengan lelaki, wanita berkahwin dengan wanita," katanya pada sidang media selepas melancarkan kempen “Sayangi Sawitku” di Pulau Carey di sini.

Perdana Menteri berkata demikian susulan titah ucapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sempena Hari Keputeraan baginda semalam bahawa kerajaan melanggar Perlembagaan Persekutuan jika menandatangani Statut Rome kerana perjanjian itu menyentuh hak dan kuasa raja, hak istimewa orang Melayu dan kesucian agama Islam di negara ini

Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa adalah perjanjian yang menubuhkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa, yang perakukan di Rom pada 17 Julai 1998, dan mula berkuatkuasa pada 1 Julai 2002.

Mengenai kebimbangan tentang nepotisme melibatkan anak sulungnya, Tan Sri Mokhzani dilantik sebagai presiden Persatuan Permotoran Malaysia (MAM), Dr Mahathir berkata bukan hasrat Mokhzani untuk kembali semula dalam sukan permotoran seperti sesetengah pihak mendakwa.

"Orang selalu menuduh kita melakukan segala macam perkara yang disebabkan oleh politik bukan kerana perkara praktikal.

Artikel Berkaitan:

"Anak saya tidak mahu kembali semula (ke sukan permotoran). Dia membelanjakan banyak wangnya semasa berada di sana..jadi sekarang dia menyimpan wang itu," kata beliau. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!