Abdul Hadi tegaskan kerjasama Pas-PH tak akan berulang

Abdul Hadi - Foto Bernama
Abdul Hadi - Foto Bernama
A
A
A

MARANG - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Jumaat menegaskan bahawa kerjasama politik antara parti itu dan Pakatan Harapan (PH) tidak akan berulang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, kerjasama menerusi strategi 'khemah besar' seperti yang disebut oleh Presiden Amanah, Mohamad Sabu tidak akan berlaku malah Pas akan meneruskan kerjasama dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) dan UMNO.

"Kita dah bekerjasama 20 tahun lebih dah... cukuplah tu. Kita akan usahakan supaya (kerjasama dengan PN) kekal, dengan PH memang tidak akan berulang," katanya kepada pemberita di Masjid Rusila di sini pada Jumaat.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata, tidak mungkin kerjasama dalam politik akan berulang setelah ia berakhir.

Mengulas isu PasLeak, Abdul Hadi menyifatkannya sebagai surat layang yang bertujuan memfitnah parti itu dan tiada keperluan untuk beliau membuat sebarang penafian.

"Siapa yang buat surat itu pun kita tak tahu, jadi tiada guna kita melayan surat layang ni, nanti kita sama-sama melayang," katanya.

Rabu lepas, Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyifatkan PasLeak sebagai dokumen palsu serta sampah bagi memfitnah Pas dan PN selain menafikan dakwaan wujud perbincangan dalaman untuk menjatuhkan beberapa pemimpin UMNO.

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa keratan didakwa minit mesyuarat Pas yang mempunyai pelan atau gerak kerja parti itu untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional.

Mengulas tindakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang ingin membuat laporan polis berhubung isu tersebut, Abdul Hadi berkata, ia terpulang kepada Presiden UMNO itu kerana Pas kekal dengan pendirian untuk tidak melayan isu berkenaan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!