Wang KWSP: Tidak perlu zakat jika memenuhi desakan hidup
SHAH ALAM - Wang hasil pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak diwajibkan zakat sekiranya dilakukan atas faktor memenuhi keperluan asas atau desakan hidup.
Eksekutif Unit Syariah dan Antarabangsa, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Muhammad Furqan Abdullah menjelaskan, pembayaran zakat hanya dikenakan terhadap harta yang berkembang seperti pendapatan dan simpanan dalam skim pelaburan.
"Jika pengeluaran dilakukan tanpa ada faktor yang jelas contohnya tidak terjejas dari segi pendapatan, masih berkerja dan sebagainya, itu kena bayar zakat.
"Namun dari sudut Islam, zakat adalah satu kewajipan dan sekiranya kita tidak cakna hukum ini, agak susah. Pusat zakat tidaklah terlalu 'rigid', ada ruang dan faktor yang boleh bertolak ansur," katanya dalam program Wacana Sinar Harian Siri-340 bertajuk ‘Takkan duit KWSP nak kena zakat?’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Turut menjadi panelis, Pengarah Perhubungan Luar, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) Malaysia, Dr. Zokhri Idris serta pakar ekonomi, Nungsari Ahmad Radhi (secara dalam talian), manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.
Mengulas lanjut Muhammad Furqan berkata, bayaran zakat terhadap wang pengeluaran khas KWSP ditetapkan pada kadar 2.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pegeluaran keseluruhan.
Sementara itu mengulas mengenai pelaburan emas, Muhammad Furqan berkata, terdapat beberapa hukum spesifik yang ditetapkan dan syarat jual beli perlu dilakukan secara langsung iaitu pembeli mendapat emas fizikal dan bukannya dalam bentuk simpanan akaun.
"Syarat untuk melihat keabsahan, kepatuhan syariah pelaburan emas mestilah 'on the spot basis', bukannya atas dasar tidak nyata.
"Dalam zakat pula, perlu dibezakan dari segi yang dipakai, disimpan atau dilaburkan mengikut kategori. Nisab atau kadar minimun pembayaran zakat adalah pada kadar 85 gram keatas bagi emas simpan dan pelaburan manakala 800 gram untuk yang dipakai," jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!