PM berbuka puasa bersama kepimpinan Pemuda, Puteri UMNO Bahagian
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berbuka puasa bersama kepimpinan Pemuda dan Puteri UMNO bahagian di kediaman rasminya di Seri Perdana di sini.
Antara yang hadir ialah Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan; Naib Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd; Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Suffian Hamdan dan Penolong Setiausaha Pemuda UMNO, Datuk Hasmuni Hassan.
Majlis yang dihadiri hampir 1,000 tetamu itu turut dihadiri 35 anak yatim dan asnaf dari Rumah Raudhatul Al Faeez di Gombak, Selangor, dan Ismail Sabri turut meluangkan masa beramah mesra serta bergambar bersama mereka.
Ismail Sabri kemudiannya menunaikan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah.
Perdana menteri turut memuat naik video majlis berkenaan dalam akaun Facebooknya dan berkata, sudah menjadi tradisi untuk keluarga besar UMNO berbuka puasa bersama-sama.
Katanya, ia menjadi saat terbaik untuk mengeratkan silaturahim sesama rakan taulan dan ahli keluarga.
"Alhamdulillah, keakraban keluarga UMNO masih kekal dari dulu. Susah senang juga dirasai bersama. Seperti kata peribahasa, tercubit paha kiri, paha kanan pun berasa sakit.
"Semoga Ramadan kali ini memberi keberkatan kepada kita semua, serta segala amal ibadah dan kebaikan diterima ALLAH SWT,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!