BHIC pastikan projek kapal tempur pesisir disiapkan

Kabinet sebulat suara bersetuju pada 20 April untuk meneruskan perolehan LCS untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). - Gambar hiasan
Kabinet sebulat suara bersetuju pada 20 April untuk meneruskan perolehan LCS untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) komited untuk memastikan kapal tempur pesisir (LCS) disiapkan dengan mematuhi semua keperluan Jawatankuasa Pemantauan Khas yang akan ditubuhkan di bawah Pelan Pemulihan Projek LCS yang diluluskan oleh Kabinet baru-baru ini.

Kabinet sebulat suara bersetuju pada 20 April untuk meneruskan perolehan LCS untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan akan memantau dengan teliti tempoh mobilisasi enam bulan untuk memulakan semula projek itu.

Pada 2011, kerajaan memberikan kontrak RM9 bilion untuk membina enam unit LCS kepada syarikat sekutu BHIC iaitu Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd.

Sebagai respons kepada keputusan baik yang dibuat oleh kerajaan, BHIC berkata ia bersedia untuk menggerakkan pasukannya yang bekerja pada projek LCS yang kemudiannya akan memberikan laporan dari semasa ke semasa mengenai perkembangan projek tersebut.

"Kami mempunyai kemudahan dan pengalaman dan dengan sokongan serta kerjasama pasukan projek LCS TLDM, vendor, pemberi pinjaman dan kerajaan, kami bersedia untuk meneruskan projek itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif BHIC Sharifuddin Md. Zaini Al-Manaf dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, BHIC menyedari harapan tinggi daripada kerajaan, TLDM dan negara secara keseluruhannya.

LCS adalah salah satu aset dalam Program Transformasi Armada 15 to 5 TLDM untuk terus memperkukuh armada dengan kapal moden.

"Apabila siap, LCS akan meningkatkan kekuatan dan keupayaan TLDM dengan ketara untuk melindungi keselamatan maritim Malaysia,” kata BHIC. - Bernama