Kerajaan digesa laksana empat langkah lindungi alam sekitar
SHAH ALAM - Kerajaan perlu lebih bersungguh-sungguh untuk melindungi alam sekitar termasuk hutan dan sungai di dalam negara.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, bagi tujuan itu kerajaan digesa melaksanakan empat perkara antaranya mengangkat Memorandum Darurat Banjir dan Krisis Iklim yang diusulkan oleh Muda.
“Selain itu, lakukan reformasi kepada kepimpinan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), bentangkan Akta Perubahan Iklim dan segerakan pelan adaptasi negara menangani cuaca ekstrem.
“Hendak seribu daya, tak mahu sejuta dalih,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya pada Jumaat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, peristiwa banjir besar pada hujung tahun lalu adalah isyarat kepada kerajaan bahawa alam sekitar di negara sudah sekian lama dijadikan sasaran golongan kontraktor, pembalak haram dan kroni elit projek besar.
“Akhirnya, yang tanggung rugi adalah rakyat. Rumah yang dihanyutkan lumpur adalah rumah rakyat. Kereta yang tenggelam dibawa arus adalah kereta rakyat. Yang menanggung rugi adalah rakyat.
“Jadi pada Hari Bumi ini, saya mahu ingatkan kerajaan untuk bersungguh-sungguhlah melindungi alam sekitar kita. Jagalah hutan, lindungilah sungai," katanya.
Hari Bumi Sedunia yang disambut pada setiap 22 April dilangsungkan pada tahun ini dengan tema ‘Invest In Our Planet‘.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!