Bekas MB sedia beri kerjasama isu jualan tanah lapangan terbang

Ahmad Faizal ditemui pemberita selepas menghadiri Kembara Sahur bersama Funride Riders di sebuah restoran di Tambun pada Sabtu.
Ahmad Faizal ditemui pemberita selepas menghadiri Kembara Sahur bersama Funride Riders di sebuah restoran di Tambun pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penjualan tanah cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Beliau yang juga Menteri Belia dan Sukan itu berkata, SPRM diminta menyiasat lebih terperinci bagi mengetahui kebenaran penjualan tanah berkeluasan ribuan ekar itu kepada sebuah syarikat swasta.

"Ketika saya menjadi menteri besar, Exco saya kononnya tidak tahu ada tapak lapangan terbang lain, tidak dibincangkan tanah hendak dijual dan sebagainya tetapi dia sendiri yang mengumumkan untuk membesarkan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS).

"Apakah Exco yang saya pimpin itu tidak bijak sehinggakan hendak besarkan LTSAS tetapi dalam masa sama tidak tahu apa yang terjadi, kononnya hendak diadakan lapangan terbang di Seri Iskandar.

"Saya tidak mahu komen perkara ini, saya dengar masih dalam siasatan SPRM jadi saya mohon SPRM siasat sedalam-dalamnya dan dedahkan kepada orang ramai akan kebijaksanaan para pemimpin kita dalam melakukan sesuatu keputusan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Kembara Sahur bersama Funride Riders di sebuah restoran di Tambun pada Sabtu.

Pada 18 April lalu, Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad menjelaskan, seramai 10 lagi individu termasuk bekas Exco kerajaan negeri dipanggil membantu siasatan SPRM berhubung isu itu.

Selain bekas Exco kerajaan negeri, turut akan dipanggil ialah pegawai PKNP, pegawai kerajaan negeri dan pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG).

Sebelum ini media melaporkan kenyataan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Datuk Asmuni Awi bahawa, penjualan tanah kepada syarikat swasta adalah di luar pengetahuan Exco kerajaan negeri ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Asmuni yang juga seorang daripada Exco kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Ahmad Faizal ketika pentadbiran negeri diterajui PH, mendakwa sepanjang menyandang jawatan itu, penjualan terbabit tidak pernah dibangkit dan dibincangkan dalam mesyuarat Exco untuk diluluskan.

Isu penjualan tanah lapangan terbang berkenaan timbul selepas ADUN Aulong, Nga Kor Ming pada Persidangan Dewan Negeri Perak mendakwa tanah itu sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad kemudiannya memaklumkan penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta untuk pembangunan bercampur di kawasan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!