RM9.93 juta untuk pesawah terjejas

Tabung peruntukan diwujudkan MAFI sebagai bantuan khas kepada penanam-penanam padi yang menghadapi bencana luar jangka. (Gambar kecil dari kiri: Ilies, Anuar)
Tabung peruntukan diwujudkan MAFI sebagai bantuan khas kepada penanam-penanam padi yang menghadapi bencana luar jangka. (Gambar kecil dari kiri: Ilies, Anuar)
A
A
A

KUBANG PASU - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memperuntukkan sebanyak RM9.93 juta bagi membantu 6,887 pesawah di seluruh kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) yang terjejas banjir serta kejadian padi rebah pada September dan November 2021.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, terdahulu peruntukan sebanyak RM1.3 juta menerusi Bantuan Wang Ihsan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) diberikan kepada 956 pesawah di kawasan MADA negeri Perlis pada awal April lalu.

Katanya, pemberian baki RM8.63 juta lagi disampaikan kepada pesawah dalam satu majlis pada Khamis bagi membantu 5,931 pesawah di kawasan MADA negeri Kedah.

“Pampasan yang diperuntukkan adalah sebanyak RM876 per hektar manakala bagi pokok padi yang berusia 71 hari ke atas, bantuan yang diberikan adalah sebanyak RM1,800 per hektar,” katanya.

Beliau ditemui di Majlis Penyampaian TBTP bulan September dan November 2021 di kawasan MADA di Dewan Tunku Anum di sini pada Khamis.

Ronald ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bulan September dan November 2021, di kawasan MADA di Dewan Tunku Anum pada Khamis.
Ronald ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Wang Ihsan Tabung Bencana Tanaman Padi (TBTP) bulan September dan November 2021, di kawasan MADA di Dewan Tunku Anum pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh dan Pengerusi MADA, Ahmad Tarmizi Sulaiman.

Menurut Ronald, tabung berkenaan diwujudkan oleh MAFI sebagai bantuan khas kepada penanam-penanam padi yang menghadapi bencana luar jangka seperti serangan wabak, bencana alam dan lain-lain faktor yang tidak dapat dielakkan.

“Kejadian banjir pada bulan September lalu selain ribut pada November di keseluruhan kawasan Muda telah menyebabkan aliran air menjadi tinggi sehingga padi rebah,” jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Tarmizi berkata, bagi mengurangkan risiko banjir pesawah disarankan agar mematuhi jadual penanaman padi yang dikeluarkan oleh MADA.

“Banjir tidak boleh elak, tetapi pihak MADA mengambil inisiatif untuk merangka dan menyusun jadual agar risiko itu dapat dikurangkan di samping meminimumkan beban yang ditanggung kerajaan melalui tabung-tabung bencana,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengingatkan pesawah supaya menyelesaikan aktiviti menabur sebelum dan selepas hari raya Aidilfitri bagi mengelak kelewatan kemudahan pengurusan bekalan pengairan untuk pertanian.

“Pesawah juga diminta untuk mengoptimum penggunaan air daripada hujan yang turun di kawasan bendang selain menggunakan Benih Padi Sah (BPS) untuk aktiviti menanam padi,” katanya.

Persiapan raya

Sementara itu, rata-rata penerima yang ditemui memanjatkan kesyukuran dan ucapan terima kasih kepada MAFI dan MADA yang membuat bayaran pampasan seperti yang dinanti-nantikan mereka.

Pesawah, Ilies Yaakob, 62, berkata, waktu bayaran yang hampir dengan sambutan Aidilfitri sangat melegakan mereka kerana ia meringankan beban dalam membuat persiapan.

“Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat kerana menjaga kebajikan pesawah, tambahan pula bantuan ini dapat sebelum raya, memang rasa lega sangat,” katanya.

Ronald (empat dari kiri) menyerahkan replika cek kepada wakil pesawah Wilayah II Jitra yang terjejas akibat bencana pada tahun lalu.
Ronald (empat dari kiri) menyerahkan replika cek kepada wakil pesawah Wilayah II Jitra yang terjejas akibat bencana pada tahun lalu.

Bagi Anuar Din, 54, pesawah dari Kampung Paya Keriang Menyabung, Mukim Naga menerima pampasan bagi dua relung padinya yang rebah akibat dilanda ribut.

“Kawasan itu tidak pernah banjir tetapi berada di laluan angin, jadi apabila berlaku ribut kuat, padi akan rosak.

“Terima kasih kepada semua pihak terutamanya ketua unit yang membuat bancian dan mengambil berat nasib pesawah,” katanya.

Peruntukan RM9.93 juta kepada 6,887 pesawah di seluruh kawasan MADA yang terjejas bencana pada September dan November 2021.

RM1.3 juta disalurkan kepada 956 pesawah di kawasan MADA negeri Perlis pada awal April lalu.

Pesawah disarankan agar mematuhi jadual penanaman padi yang dikeluarkan oleh MADA untuk kurangkan risiko banjir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!