Konsesi tubuh pasukan khas tangani banjir kilat

Saiful Azzuan (empat dari kanan) turut menyampaikan sumbangan kepada rumah-rumah anak yatim terpilih pada Majlis Berbuka Puasa PEISB Bersama Anak-anak Yatim di ruang legar Falim Square, di sini pada Jumaat.
Saiful Azzuan (empat dari kanan) turut menyampaikan sumbangan kepada rumah-rumah anak yatim terpilih pada Majlis Berbuka Puasa PEISB Bersama Anak-anak Yatim di ruang legar Falim Square, di sini pada Jumaat.
A
A
A

IPOH - Syarikat konsesi penyelenggaraan, Puncak Emas Infra Sdn Bhd (PEISB) menubuhkan pasukan petugas khas dalam menangani masalah banjir kilat di seluruh kawasan seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Perak.

Pengurus Besar PEISB, Saiful Azzuan Aznam berkata, tindakan pantas akan diambil jika berlaku kejadian banjir kilat melibat kerja-kerja pembersihan longkang yang tersumbat.

Menurutnya, tindakan memasang pelan pengurusan trafik bagi membuat lencongan kepada kenderaan yang melalui kawasan banjir.

"Sekiranya banjir tersebut disebabkan longkang tersumbat kerana sampah kita akan mencuci dalam masa segera tetapi kalau banjir disebabkan kenaikan air sungai kita hanya membuat pemantauan mengikut keadaan semasa.

"Kita memang banyak terima aduan mengenai masalah longkang khususnya di Bandar raya Ipoh kerana sering berlaku banjir kilat," katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa PEISB Bersama Anak-anak Yatim di ruang legar Falim Square, di sini pada Jumaat.

Mengenai tempoh masa penyelesaian setiap aduan yang diterima, Saiful Azzuan berkata, ia bergantung kepada jenis aduan.

Katanya, aduan yang melibatkan kecemasan akan mengambil masa dalam sehari hingga tiga hari untuk dilaksana dan diselesaikan.

"Skop kami melibatkan jalan-jalan di bawah PBT bukan di bawah Jabatan Kerja Raya (JKR) ataupun selain dari pihak PBT. Skop yang kami lakukan sama sepertimana konsesi lain iaitu tertakluk kepada Sistem Maklumat Rekod Jalan raya Malaysia (MARRIS).

"Ia melibatkan jalan kiri kanan, rumput, longkang dan keselamatan jalan. Macam pembaikan kawasan lapang tak termasuk dan juga kawasan yang di luar jalan MARRIS. Sebab itu ada salah faham daripada orang ramai ingatkan semua di bawah PEISB," katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun pihaknya menerima segala aduan oleh orang ramai dan menyemak kembali berdasarkan skop.

Jelasnya, jika aduan tersebut di bawah bidang kuasa PEISB, mereka akan menyelesaikan masalah tersebut bagaimanapun jika sebaliknya ia akan dirujuk kepada PBT.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!