KEDA belanja RM6.4 juta bantu 10,350 peserta

Mahdzir (tiga dari kiri) menyampaikan Bantuan Ekonomi Program Transformasi Desa dan Pengeupayaan Komuniti kepada usahawan terpilih Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka, Padang Terap pada Jumaat.
Mahdzir (tiga dari kiri) menyampaikan Bantuan Ekonomi Program Transformasi Desa dan Pengeupayaan Komuniti kepada usahawan terpilih Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka, Padang Terap pada Jumaat.
A
A
A

KUALA NERANG - Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA)membelanjakan RM6.4 juta bagi membantu 10,350 pesertanya dalam pelbagai aktiviti bantuan ekonomi pada tahun ini termasuk peralatan, infrastruktur dan program pembangunan keusahawanan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bantuan ekonomi pula disalurkan melalui projek pertanian, ternakan dan juga perniagaan.

"Antara jenis bantuan yang diberikan adalah input pertanian seperti benih dan baja, jentera pertanian, bina kandang ternakan, mesin dan peralatan perniagaan, kursus kemahiran serta khidmat bimbingan usahawan," katanya pada sidang akhbar Majlis Iftar Warga Desa KEDA di Pusat Komuniti Padang Kerasak Naka, dekat sini pada petang Jumaat.

Hadir sama, Pegawai Daerah Padang Terap, Datuk Ghani@Zulkifli Zainuddin, Pengerusi KEDA, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail dan Pengurus Besar KEDA, Kamarudin Abd Akib.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, KEDA melaksanakan bantuan ekonomi melalui tujuh program utama iaitu Program Transformasi Desa dan Pengupayaan Komuniti (PTDPK), Projek Pertanian Petani Luar Bandar (PPLB), Projek Pembangunan Sawah, Program Keusahawanan Wanita, Program Transformasi Pembangunan Keusahawanan (EDEP), Program Pembangunan Kemahiran Untuk Komuniti B40 dan Program Pembangunan Semula Kawasan Terbiar (PSKT).

Menurutnya, bantuan ekonomi yang diberikan kepada peserta dalam kalangan miskin luar bandar itu merupakan langkah kerajaan untuk mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan.

Mahdzir (tengah) bersama warga KEDA yang menerima bantuan sempena Majlis Iftar Warga Desa KEDA di Pusat Komuniti Padang Kerasak Naka pada petang Jumaat. 
Mahdzir (tengah) bersama warga KEDA yang menerima bantuan sempena Majlis Iftar Warga Desa KEDA di Pusat Komuniti Padang Kerasak Naka pada petang Jumaat. 

"Maklum balas yang diterima daripada peserta terlibat menunjukkan bantuan ekonomi ini memberi manfaat dalam peningkatan pendapatan isi rumah antara 30 hingga 40 peratus dan kita berharap kesemua peserta manfaatkan bantuan yang diberikan sebaik mungkin," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, KEDA Juga berperanan membantu dan melengkapkan aktiviti pembangunan di luar bandar membabitkan tiga aspek utama iaitu pembangunan fizikal, ekonomi dan modal insan.

Jelasnya, usaha itu adalah sebahagian daripada inisiatif kementerian untuk merapatkan jurang perbezaan pembangunan antara luar bandar dengan bandar.

Pada majlis sama, Mahdzir turut menyampaikan bantuan ekonomi PTDPK dan PPLB kepada 10 penerima dari daerah Padang Terap.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!