PGA, UiTM agih kuih kuba guling di SJR
RANTAU PANJANG - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan melalui Program Ihya Ramadan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kota Bharu mengagihkan 600 bekas kuih kuba guling kepada orang ramai yang melalui sekatan jalan raya (SJR) di Cabang Empat Salam di sini pada Jumaat.
Penasihat Satu Kelab Keusahawanan UiTM Kota Bharu, Dr Nurazleena Ismail berkata, ia merupakan kerjasama kali pertama pihaknya dengan PGA bagi menjayakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kelab berkenaan.
"Selain itu, pihak kami turut mengagihkan kuih tersebut kepada pegawai dan anggota PGA yang bertugas sebagai tanda penghargaan mereka dalam menjaga sempadan negara," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa Program Ihya Ramadan UiTM Kota Bharu di Cabang Empat Salam di sini.
Hadir sama ialah, Pegawai Pemerintah Batalion 7 PGA Kuantan, Superintendan Azhari Nusi.
Menurut Nurazleena, selain berkongsi rezeki dengan masyarakat setempat, program berkenaan juga adalah inisiatif penuntut Ijazah Sarjana Muda Fakulti Pengurusan Perniagaan yang mendapat kelulusan peruntukan selain turut menerima sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong usaha Kelab Keusahawanan UiTM Kota Bharu.
Beliau berkata, ia menjadi antara projek awal yang dilakukan secara bersemuka kerana sepanjang Covid-19, penuntut hanya didedahkan melalui platform dalam talian bagi mengelak penularan wabak.
Katanya, program itu diuruskan sendiri oleh penuntut yang terbabit sekali gus membuktikan bahawa UiTM bukan sahaja melahirkan graduan yang cemerlang malah memiliki keberanian dan keyakinan yang menjadi keutamaan dalam membina kerjaya kelak.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!