PESAMP sumbang RM25,000 kepada pusat pendidikan di Utara Thailand
SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Petronas Malaysia (PESAMP) menyalurkan sumbangan bernilai RM25,000 kepada pusat pendidikan anak keluarga mualaf, Ban Huay Islamic Centre di Chiang Rai, Thailand.
Presidennya, Shahnaz Khan Dell Akbar Khan berkata, pemberian itu merupakan kesinambungan sumbangan tahunan diberikan pihak persatuan kepada pusat pendidikan tersebut setiap kali tiba bulan Ramadan.
“Kita uar-uarkan mengenai program sumbangan ini kepada pengusaha stesen minyak yang berada di seluruh negara sejak lebih sebulan lalu.
“Alhamdulillah kita dapat mengumpulkan sebanyak 25,000 untuk disumbangkan kepada sekolah bagi tujuan kebajikan pelajar dan guru di sana ketika bulan Ramadan ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, selepas menyampaikan sumbangan tersebut di Kompleks Karangkraf, di sini, pada Jumaat.
Ban Huay Islamic Centre yang terletak di utara Thailand didirikan sejak 20 tahun lalu bagi memberikan pendidikan kepada anak-anak keluarga yang memeluk agama Islam dan tinggal di kampung serta penempatan hutan di sekitar kawasan tersebut.
Pusat pendidikan yang mempunyai penempatan asrama itu turut memberikan pembiayaan sepenuhnya kepada pelajar meliputi keperluan pelajaran, pakaian, makanan dan kesihatan.
Ketika ini ia mampu menampung hampir 200 pelajar dengan majoriti tenaga pengajarnya adalah terdiri daripada bekas pelajar yang pernah menuntut di pusat pendidikan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!