SIRIM raikan anak yatim, asnaf

Ahmad Sabirin (dua dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan berbentuk duit raya kepada golongan anak yatim dan juga asnaf pada Majlis Iftar Kumpulan SIRIM pada Jumaat.
Ahmad Sabirin (dua dari kiri) ketika menyampaikan sumbangan berbentuk duit raya kepada golongan anak yatim dan juga asnaf pada Majlis Iftar Kumpulan SIRIM pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi penyelidikan dan teknologi utama negara, SIRIM Berhad menceriakan bulan Ramadan ini dengan meraikan golongan anak yatim dan asnaf termasuk memberikan sumbangan berbentuk duit raya.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, seramai 12 orang anak yatim diraikan terdiri daripada mereka yang telah kehilangan ibu bapa akibat Covid-19, penyakit kritikal dan juga kemalangan jalan raya.

“Seramai 13 orang lagi merupakan golongan asnaf dan keluarga yang terkesan dengan musibah banjir di Selangor pada hujung Disember tahun lalu,” katanya pada Majlis Iftar Kumpulan SIRIM, di sini pada Jumaat.

Hadir sama pada majlis tersebut, Pengerusi SIRIM, Tan Sri Dr lr Ahmad Tajuddin Ali.

Majlis Iftar Kumpulan SIRIM itu juga merupakan antara aktiviti tahunan yang diadakan bagi mengimarahkan lagi bulan Ramadan.

Mengulas lanjut, Ahmad Sabirin berkata, beberapa program lain turut diadakan sepanjang bulan Ramadan antaranya agihan kurma dan bubur lambuk, ceramah perdana dan solat sunat tasbih serta tazkirah.

“Selain itu, kita juga menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anggota kerja di beberapa cawangan SIRIM di seluruh negara seperti di Institut Metrologi Kebangsaan Malaysia (NMIM), Pejabat SIRIM di Johor dan Kedah.

“Inisiatif ini dilakukan bagi menyemarakkan semangat Ramadan dalam kalangan anggota kerja SIRIM,” katanya.

Sementara itu, salah seorang penerima sumbangan, Nur Husna Sofea Shokri, 15, berkata, dia sangat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang sudi menyalurkan bantuan berkenaan.

“Ini membuktikan bahawa ada lagi orang yang sudi mengambil berat terhadap saya, ibu dan adik-adik. Mereka datang bagi pertolongan sewaktu kami memerlukan,” luahnya ketika ditemui Sinar Harian.

Dia yang kehilangan bapa akibat Covid-19 pada Julai tahun lalu turut mengakui pelajarannya sedikit terjejas kerana belum dapat menerima kenyataan bahawa ayahnya sudah tiada.

“Saya ambil masa beberapa bulan untuk terima keadaan ini. Namun, sekarang pelajaran saya sudah semakin baik kerana saya tidak mahu susahkan mak saya.

“Mak saya sekarang banyak buat kerja, kadang-kadang balik pun lewat malam. Saya rasa kesian sebab itu selepas pulang dari sekolah saya akan bantu dia kemaskan rumah, basuh baju dan jaga adik-adik,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!