Kereta terbabas, ibu dan anak maut

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang ibu dan anak perempuannya maut manakala tiga lagi cedera selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar besi penghadang jalan di Kilometer 36.8 Lebuhraya Utara Selatan, di Kulai dekat sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulai, Tok Beng Yeow berkata, kejadian pada 5.13 pagi itu menyebabkan Shahina Sahanas Mohamed Sharif, 6, yang berada di bahagian hadapan kereta dan ibunya M Samima Barvin Mohd Ali, 34, di bahagian penumpang maut di tempat kejadian.

Pemandu kereta tersebut yang juga suami mangsa iaitu Mohamed Sharif Anapana Mohamed Kassim, 38 dan anak perempuannya, Sharifathul Shaliha,10, serta saudaranya Gulam Dastaghir Abdul Hameed, 61, pula hanya cedera.

"Hasil siasatan mendapati kereta Perodua Alza dinaiki keluarga itu bergerak dari Kuala Lumpur menghala ke Johor Bahru telah hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang di sebelah kiri jalan.

“Ekoran pelanggaran, besi pembahagi jalan terperosok masuk menembusi kenderaan dan mengenai mangsa yang berada di dalam kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tok berkata, semasa kejadian, tiada sebarang halangan di atas permukaan jalan.

Mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Kulai untuk dibedah siasat manakala mangsa yang cedera dirawat di hospital di sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!