Dua bot nelayan langgar syarat lesen ditahan
LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan dua bot nelayan tempatan di kedudukan 6.5 batu nautika barat daya Tanjung Lomba-Lomba, muara Sungai Bernam pada Jumaat selepas disyaki melanggar syarat lesen.
Pengarahnya, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot kelas B1 itu dikesan sedang melakukan aktiviti memukat di kawasan tidak dibenarkan telah ditahan untuk pemeriksaan pada jam 9.30 pagi.
"Hasil pemeriksaan pasukan operasi mendapati kedua-dua bot dikendalikan lima kru termasuk tekong warga tempatan berusia 35 hingga 58 tahun.
"Mereka menggunakan pukat tunda sebagai alat menangkap ikan di kawasan kurang daripada 8.0 batu nautika," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, tekong serta kru bot disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan pukat tunda dalam kawasan Zon A.
"Pemeriksaan lanjut turut menemukan 270 kilogram ikan campur.
"Kesemua yang ditahan diiring ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut oleh pegawai penyiasat Maritim Malaysia," katanya.
Shahrizan mengingatkan nelayan tempatan untuk terus mematuhi peraturan serta syarat sah lesen dengan tidak menceroboh atau menjalankan aktiviti perikanan di zon yang tidak dibenarkan terutamanya di Zon A yang menjadi punca rezeki nelayan tradisional atau pesisir pantai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!