Restoran dijadikan kelab malam digempur

Seorang penjaga premis berusia 39 tahun ditahan dalam serbuan tersebut.
Seorang penjaga premis berusia 39 tahun ditahan dalam serbuan tersebut.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taktik pemilik restoran menjadikan kedainya sebagai pusat hiburan ala kelab malam terbongkar selepas digempur polis dalam serbuan ke atas premis yang terletak di Jalan Tun Sambanthan 4 di sini, pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, bertindak di atas maklumat, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields telah menyerbu premis tersebut sekitar jam 12.04 tengah malam.

"Polis telah menahan penjaga premis iaitu seorang lelaki tempatan berumur 39 tahun dan membuat pemeriksaan ke atas lapan pelanggan dan dua pekerja kesemuanya warga tempatan.

"Pihak polis merampas dua keping resit perniagaan, sebuah 'mixer' berjenama, mikrofon dan sebuah komputer riba jenama Lenovo," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penyalahgunaan lesen perniagaan supaya menghubungi IPD Brickfields di talian 03 2297 9222 atau tampil ke mana-mana balai berhampiran.

Amihizam berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!