Tradisi bakul makanan bawa keceriaan kepada warga Lipis

Abdul Rahman (tengah) ketika program Tradisi Ziarah Kasih di Parlimen Lipis.
Abdul Rahman (tengah) ketika program Tradisi Ziarah Kasih di Parlimen Lipis.
A
A
A

LIPIS - Tradisi Ziarah Kasih sentiasa dinantikan masyarakat Parlimen Lipis dan membawa keceriaan kepada lebih 1,700 kepada penduduk dalam kawasan itu sepanjang Ramadan.

Timbalan Menteri 1, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, program bantuan dalam bentuk bakul makanan itu bermula sejak awal bulan puasa dan dijangka penghujungnya pada minggu ini.

Menurutnya, jumlah keseluruhan bantuan yang diberikan melibatkan 72 kampung bernilai RM170,000 dan ia turut melibatkan kerjasama agensi-agensi KPLB, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung dan Jawatankuasa UMNO Lipis.

"Saya berharap agar bantuan yang diberikan sedikit sebanyak memberi kegembiraan kepada masyarakat setempat terutamanya golongan yang memerlukan menjelang Aidilfitri yang bakal menjelma tiba," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, sambutan Aidilfitri adalah sebuah tanda kemenangan setelah sebulan mengerjakan ibadah berpuasa dan semua pihak sudah tentu merindukan amalan kunjung mengunjung ke rumah sanak saudara sambil menikmati juadah hidangan.

Abdul Rahman (kiri) menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang peneroka ketika program Tradisi Ziarah Kasih di Parlimen Lipis.
Abdul Rahman (kiri) menyampaikan bakul makanan kepada salah seorang peneroka ketika program Tradisi Ziarah Kasih di Parlimen Lipis.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan semua pihak terutama anak perantauan yang akan pulang ke kampung sentiasa berhati-hati sepanjang perjalanan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

"Tidak lupa yang berada di perantauan yang akan pulang ke kampung halaman. Berhati-hati buat anak kota yang memandu untuk pulang ke desa.

"Semoga hari raya ini disambut penuh kemeriahan dan keceriaan walau di mana kita berada," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!