Polis siasat klip video dakwa anggota lakukan kekerasan

Klip video tular yang mendakwa anggota polis melakukan kekerasan semasa proses tangkapan.
Klip video tular yang mendakwa anggota polis melakukan kekerasan semasa proses tangkapan.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis mengesahkan telah menerima dua laporan berkaitan klip video tular yang mendakwa anggota polis melakukan kekerasan semasa proses tangkapan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pihaknya telah menerima dua laporan yang dibuat oleh seorang lelaki dan anggota polis berkenaan.

"Masing-masing mendakwa mengalami kecederaan ringan semasa proses tangkapan tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, satu video klip berdurasi satu minit 25 saat itu memaparkan dua anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor yang sedang dalam proses membuat tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan.

"Kita telah menjalankan siasatan terhadap kejadian ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.

Baharudin berkata, orang ramai atau saksi bebas yang melihat kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berdekatan.

"Orang ramai diminta agar tidak membuat kesimpulan sendiri atau membuat perkongsian dan menyebarkan sebarang berita yang diperoleh dari sumber yang tidak tepat," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!