Dhabitah bawa Jalur Gemilang di Sukan SEA Hanoi

Nur Dhabitah dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada temasya Sukan SEA Hanoi di Vietnam yang akan bermula 12 hingga 23 Mei ini.
Nur Dhabitah dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada temasya Sukan SEA Hanoi di Vietnam yang akan bermula 12 hingga 23 Mei ini.
A
A
A

ATLET terjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang pada temasya Sukan SEA Hanoi di Vietnam yang akan bermula 12 hingga 23 Mei ini.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, pemilihan Dhabitah itu dibuat selepas atlet berusia 23 tahun itu berjaya menampilkan aksi cemerlang di temasya Olimpik Tokyo 2020.

Selain itu katanya, personaliti dimiliki Dhabitah yang peramah dan mudah didekati turut menyumbang kepada faktor pemilihannya untuk membawa bendera Malaysia di temasya dwi tahunan itu.

“Pertama sebab kita memilih Dhabitah untuk membawa bendera Malaysia kerana pencapaiannya yang memberangsangkan di peringkat Olimpik yang lalu.

"Jadi seharusnya atlet-atlet lain akan lihat beliau sebagai ikon kepada kontinjen kita.

“Selain itu personaliti beliau yang peramah dan mudah didekati turut menyumbang kenapa kami memilih dia untuk membawa bendera Malaysia,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Pakaian Rasmi Kontinjen Malaysia 2022 di Wisma OCM pada Sabtu.

Dalam pada itu, Dhabitah menyifatkan pemilihannya untuk membawa Jalur Gemilang pada temasya kali ini dilihat mampu memberi tonik tambahan buat dirinya dalam misi memenangi dua pingat emas buat kontinjen negara di Hanoi.

“Pertama sekali saya berterima kasih kepada MOM yang memilih saya untuk menjadi pembawa Jalur Gemilang kontinjen Malaysia di Sukan SEA Hanoi.

“Sasaran saya pada Sukan SEA kali ini adalah untuk memenangi dua emas dalam dua acara yang akan saya sertai iaitu 1 meter (m) papan anjal dan 10m platform seirama.

“Kepada anda semua di luar sana, berilah sokongan kepada atlet negara dan buat rakan atlet yang lain, semoga maju jaya,” katanya.

BIODATA:

Nama: Nur Dhabitah Sabri

Tarikh Lahir: 12 Julai 1999 (23 Tahun)

Tempat Lahir: Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

Pencapaian:

- Sukan Olimpik 2020 (Tempat ke-4)

- Sukan Olimpik 2016

- Sukan Asia 2018 (1 Perak, 2 Gangsa) & 2014 (Tempat ke-6)

- Sukan Komanwel 2018 (2 Gangsa) & 2014 (1 Gangsa)

- Sukan SEA 2013, 2015, 2017 & 2019 – Emas

Acara di Sukan SEA Vietnam: ​

- 1M Papan Anjal Individu – 8 Mei 22

- 10M Platform Seirama – 11 Mei 22

- Upacara Pembukaan – 12 Mei 22

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!