Projek naik taraf Jalan Perindustrian Rawang mula tahun depan

Protes mendesak projek naik taraf Jalan Perindustrian Rawang disegerakan. (Gambar kecil: Wei Kiat)
Protes mendesak projek naik taraf Jalan Perindustrian Rawang disegerakan. (Gambar kecil: Wei Kiat)
A
A
A

RAWANG - Kerja di lapangan bagi projek naik taraf Jalan Perindustrian Rawang (FT3209) akan dapat dilihat menjelang tahun depan selepas proses reka bentuk selesai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat berkata, kerja asas seperti ukuran dan pengambilan tanah bagi projek bernilai RM445 juta itu telah dimulakan sejak 2020.

Menurutnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) akan serah tender kepada syarikat kontraktor pada Mei disusuli kerja reka bentuk yang prosesnya dijangka mengambil masa setahun.

"Naik taraf FT3209 merupakan projek besar dan jika ikut kebiasaan akan mengambil masa namun saya sebagai ADUN Rawang dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong kerap mendapatkan perkembangan semasa projek menerusi Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Dewan Rakyat.

"Setakat ini tidak berlaku kelewatan projek, jika ada pun ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan proses lantikan kontraktor mengambil masa.

"Kami kerap tanya perkembangan projek kerana risau kerajaan sekarang batalkan projek tetapi saya bersyukur kerana JKR masih menjalankan kerja dengan baik," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata demikian mengulas protes diketuai Penyelaras MCA Parlimen Selayang, Chan Wun Hoong yang mendesak projek itu disegerakan selepas mendakwa tiada perkembangan dapat dilihat sehingga kini.

Pada sesi protes tersebut, Wun Hoong mendesak Wei Kiat dan William memberikan penjelasan berkenaan status projek tersebut yang menjadi tanda tanya dalam kalangan penduduk.

Mengulas lanjut, Wei Kiat berkata, projek itu mampu direalisasikan namun meminta isu tersebut tidak diganggu atau dipolitikkan.

"Tiada peruntukan disalurkan menyebabkan isu ini berlarutan berpuluh tahun lamanya. Waktu Pakatan Harapan (PH) jadi kerajaan, YB William desak kerajaan beri peruntukan sebelum diluluskan bagi Bajet 2020.

"Saya minta BN jangan politikkan isu ini dan saya harap kerajaan sekarang tidak mengganggu projek ini bagi menyelesaikan masalah penduduk Rawang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!