Tiga lelaki ligat buat aksi 'superman' dicekup

Dua remaja dan seorang lelaki ditahan selepas 'ligat' menunggang motosikal dengan aksi 'superman' di jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran Kampung Telekong, Kuala Krai pada Jumaat.
Dua remaja dan seorang lelaki ditahan selepas 'ligat' menunggang motosikal dengan aksi 'superman' di jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran Kampung Telekong, Kuala Krai pada Jumaat.
A
A
A

KUALA KRAI - Ketika orang lain sibuk mengejar pahala di 10 malam terakhir Ramadan, dua remaja dan seorang lelaki pula ligat menunggang motosikal dengan aksi 'superman' di jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran Kampung Telekong di sini pada Jumaat.

Dua remaja berusia 17 dan 18 tahun serta lelaki berusia 21 tahun itu masing-masing dicekup dalam serbuan berasingan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, bertindak atas maklumat awam sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai melakukan pemantauan di sekitar jalan Kota Bharu-Gua Musang berhampiran Kampung Telekong pada jam 11 malam.

"Hasil pemerhatian yang dilakukan mendapati tiga buah motosikal berlumba dan melakukan aksi 'superman'," katanya dalam satu kenyatan di sini pada Sabtu.

Menurutnya, anggota polis bertugas kemudian mengekori salah seorang suspek berusia 18 tahun dan kemudian berjaya menahannya di hadapan sebuah kedai runcit di Kampung Telekong.

Beliau berkata, hasil soal siasat membawa kepada penahanan seorang lagi remaja berusia 17 tahun di Kampung Bunut Payung.

Shuhaimi berkata, pihaknya menahan suspek berusia 21 tahun ketika serbuan terakhir di kampung yang sama.

"Polis merampas ketiga-tiga buah motosikal yang ditunggangi suspek semasa melakukan aksi superman tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!