Dua pemandu mabuk ditahan
TUMPAT - Polis menahan dua pemandu lelaki yang memandu kenderaan masing-masing termasuk sebuah Toyota Alphard dalam keadaan mabuk di Sekatan Jalan Raya (SJR) di Pasir Pekan di sini pada Jumaat.
Mereka berusia 45 dan 57 tahun itu ditahan dalam SJR Op Mabuk pada jam 11.30 malam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kelantan, Superintendan Shuhaimi Jusoh berkata, sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Tumpat menahan dua kenderaan termasuk sebuah kereta jenis Proton Saga di SJR untuk pemeriksaan.
“Dua lelaki dipercayai memandu dalam keadaan kandungan alkohol dalam badan melebihi had yang ditetapkan.
“Ujian saringan awal ke atas kedua-dua pemandu dilakukan menggunakan alat Screening Device II (SDII) dan mereka dibawa Balai Polis Wakaf Bharu untuk pemeriksaan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita, di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, mereka diarah menjalankan ujian pernafasan mengikut Seksyen 45C Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 menggunakan alat Evidential Breath Analyzer (EBA) dan keputusan didapati positif alkohol.
“Tangkapan dilakukan ke atas kedua-kedua mereka mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987 kerana positif alkohol berlebihan semasa memandu.
“Hasil rakaman percakapan mendapati lelaki itu dalam perjalanan dari kedai makan di Kebakat dan ingin menghala pulang ke rumahnya di Kota Bharu manakala seorang lagi dari kedai makan di Wakaf Bharu hendak pulang ke rumahnya di Kota Bharu,” katanya.
Jelasnya, mereka dibebaskan dengan jaminan polis dan siasatan masih diteruskan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!