Bersatu & dinamika politik Sarawak
HUJUNG minggu lalu, semua perhatian bertumpu ke Bintulu. Mana tidaknya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sarawak telah dilancarkan secara rasmi oleh Pengerusi Bersatu yang juga Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Sabtu lalu.
Pelancaran ini sudah tentu dianggap bersejarah kerana kemampuan Bersatu bertapak di Sarawak sebagai sebuah parti ‘perkauman dari Malaya’ (baca: Semenanjung) walaupun usianya masih muda amat mengagumkan.
Sebelumnya, Umno telah beberapa kali cuba melebarkan sayapnya ke Sarawak. Namun begitu, persetiaan dalam BN bersama rakan-rakan komponennya dari Sawarak dan kesukaran parti-parti dari Malaya untuk diterima di Sarawak telah menghalang hasrat Umno itu.
Dengan perubahan politik semasa ditambah pula dengan kesedaran politik di Sarawak yang semakin tinggi selari dengan perkembangan pendidikan, taraf hidup dan kemajuan teknologi maklumat, penerimaan terhadap parti Bersatu ini barangkali sudah boleh dijangka.
Dengan Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) bakal menjengah dalam tempoh 2-3 tahun lagi, sudah tentu kemasukan Bersatu bakal memberikan alternatif politik kepada rakyat Sarawak. Dengan tewasnya BN di peringkat persekutuan yang membawa kepada pembubaran BN Sarawak, PRN12 kelak dijangka sengit.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang kini menerajui pemerintahan negeri akan berhadapan bukan sahaja dengan parti-parti tempatan sedia ada malah terpaksa juga bertarung dengan parti-parti popular yang datang dari Semenanjung.
Dinamika politik Sarawak banyak dibentuk menerusi unsur lokaliti setempat. Parti-parti tempatan berasaskan kaum sering dilihat mendominasi kawasan-kawasan tertentu.
Komposisi etnik yang pelbagai di Sarawak membawa kepada penubuhan parti politik berasaskan etnik bagi kepentingan dan aspirasi masing-masing.
Hal inilah yang menjadi kelebihan buat BN di Sarawak kerana kemampuannya meraih undi setiap etnik berjaya digembleng dengan baik menerusi peranan parti-parti komponennya setiap kali pilihan raya negeri diadakan.
Cuma gabungan dan pakatan politik di Sarawak amat dinamik sifatnya. Penulisan Nidzam Sulaiman (2006) dalam bukunya Pakatan Dalam Politik Sarawak menerangkan bahawa elemen pakatan dan gabungan politik di Sarawak, walaupun tidak konsisten seperti di Semenanjung, tetapi ia tidak terbatas kepada isu kerajaan campuran dan demokrasi permuafakatan semata-mata.
Disebabkan itu, komponen gabungan tidak kekal lama dalam amalan politiknya. Yang kekal hanyalah kepentingan. Apabila BN dibubarkan dan GPS ditubuhkan, maka ia membenarkan analisis Nidzam terhadap kenyataannya itu.
Dengan wujudnya Bersatu, ditambah pula dengan ura-ura akan wujud satu lagi parti tempatan baharu iaitu ‘Sarawak Baru’; gabungan empat parti pembangkang tempatan menerusi Parti Reformasi Negeri (STAR), Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras), Parti Pekerja Sarawak (SWP) dan Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDSB) akan merancakkan lagi PRN-12. Barangkali kerana banyaknya parti yang bertanding, setiap parti harus melihat kaum mana yang lebih responsif kepada mereka dalam melakar strategi dalam memancing undi kelak.
Masih awal untuk meramalkan apa pun. Setiap parti masih punya banyak masa untuk berbuat perkara yang sepatutnya. Cuma dengan bertapaknya Bersatu dalam politik Sarawak sudah tentu akan merubah dinamika politik Sarawak.
Sejarah memperlihatkan parti-parti Semenanjung yang bertanding di Sarawak selalunya gagal mendapat sokongan setiap kali pilihan raya diadakan.
Walaupun parti DAP dan PKR menang di beberapa kerusi Dun, namun calon mereka selalunya mewakili kaum tertentu dengan membawa isu-isu setempat. Isu-isu kebangsaan tidak begitu mendapat tempat seperti mana di Semenanjung.
Kegagalan parti-parti pembangkang ketika PRN11 lalu barangkali mampu menjadi pengajaran yang bermakna kepada Bersatu. Ketika PRN11, pembangkang tewas dek persona arwah “Tok Nan” yang berjaya membawa imej tegas memperjuangkan hak Sarawak dan dalam masa yang sama, pembangkang gagal membentuk kerjasama politik yang meyakinkan untuk menumbangkan BN, terutamanya DAP dan PKR.
Barangkali, perkara pertama yang Bersatu Sarawak harus fikirkan mungkin ialah bagaimana hendak menyatukan Pakatan Harapan di Sarawak sepertimana ketika PRU14.
* Penulis Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi UiTM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!