KPDNHEP bongkar aktiviti jualan barangan guna cap dagangan palsu

Pegawai KPDNHEP Temerloh merampas sejumlah kasut jenama tiruan dianggarkan berjumlah RM8,640 di sebuah rumah di Temerloh.
Pegawai KPDNHEP Temerloh merampas sejumlah kasut jenama tiruan dianggarkan berjumlah RM8,640 di sebuah rumah di Temerloh.
A
A
A

TEMERLOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyerbu sebuah premis kediaman yang disyaki dijadikan pusat jualan dan stor penyimpanan barangan cap dagang antarabangsa tiruan di sebuah taman perumahan di sini pada Jumaat.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Daerah KPDNHEP cawangan Temerloh, Abdul Razak Yahaya berkata, serbuan itu dilakukan kerana premis terbabit dikatakan menjual atau menawarkan barangan yang menggunakan cap dagang antarabangsa secara salah melalui transaksi jualan dalam talian pada Jumaat.

Menurutnya, seorang lelaki berusia 37 tahun yang merupakan penghuni rumah terbabit ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Akta Cap Dagangan 2019.

"Sejumlah kasut yang menggunakan cap dagangan jenama antarabangsa disita untuk tindakan lanjut.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM8,640," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau menjelaskan modus operandi dilakukan adalah dengan membeli produk daripada pembekal tempatan barangan tiruan berjenama terkenal sebelum menjualnya kembali secara dalam talian pada sekitar harga RM120 bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Kes disiasat di bawah Akta Cap Dagangan 2019 kerana disyaki melakukan kesalahan iaitu menjual atau menawar untuk membekalkan barangan cap dagangan yang dipakaikan dengan salah," katanya.

Abdul Razak berkata, operasi bersepadu KPDNHEP Cawangan Temerloh itu dilakukan bersama wakil pemilik cap dagangan bagi membanteras aktiviti jualan barangan tiruan, penggunaan cap dagangan tanpa kelulusan dan kebenaran di musim perayaan Aidilfitri.

Katanya, seramai lapan pegawai penguat kuasa KPDNHEP cawangan Temerloh terlibat bersama-sama tiga wakil pemilik cap dagangan.

"Kita membuat pemantauan dan risikan selama seminggu selepas mendapat aduan dari pemilik cap dagang terbabit," ujarnya.

Sehubungan itu, pihaknya memberi amaran kepada mana-mana individu atau peniaga yang menceroboh harta intelek dan pemilikan cap dagangan supaya menghentikannya dengan segera.

Tegasnya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau peniaga yang melakukan kesalahan berkenaan.

"Mereka akan berhadapan dengan tindakan berat serta denda yang tinggi termasuk hukuman penjara, jika didapati bersalah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!