210,000 kunjungi Bazar Aidilfitri Lorong TAR sejak 9 April lalu

Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur 2022 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beroperasi di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) bermula 9 April hingga 2 Mei depan. - Foto Bernama
Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur 2022 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) beroperasi di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) bermula 9 April hingga 2 Mei depan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 210,000 pengunjung direkodkan membeli-belah di Bazar Aidilfitri di Lorong Tunku Abdul Rahman (TAR) 2022 untuk persiapan hari raya sejak bazar itu beroperasi pada 9 April lepas sehingga pada Jumaat.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, jumlah pengunjung harian tertinggi direkodkan pula adalah pada 17 April (Ahad) lepas iaitu seramai 21,600 orang.

"Selain perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka, pengunjung dinasihati sentiasa berwaspada dan menjaga keselamatan terutama mereka yang membawa kanak-kanak kecil.

"Saya juga nasihatkan pengunjung yang mahu datang supaya menggunakan pengangkutan awam seperti bas atau Transit Aliran Ringan (LRT) untuk mudah bergerak tanpa perlu membuang masa mencari tempat letak kereta yang berkurangan,” katanya dalam satu video yang dimuat naik dalam Facebook Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pada Jumaat.

Mahadi turut memaklumkan seramai 420 anggota penguat kuasa termasuk DBKL, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) ditugaskan untuk melakukan pemantauan keselamatan di bazar itu selain memastikan aliran trafik sentiasa lancar.

Bazar Aidilfitri Lorong TAR 2022 beroperasi sehingga 2 Mei melibatkan 206 petak khemah dengan waktu operasi dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam kecuali pada Jumaat, Sabtu dan Ahad hingga jam 2 pagi. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!