12,278 premis mohon permit jualan murah Aidilfitri

Rosol (dua dari kanan) meninjau barangan yang dijual pada harga lebih murah sempena Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di sebuah pasar raya di Kuala Berang pada Sabtu.
Rosol (dua dari kanan) meninjau barangan yang dijual pada harga lebih murah sempena Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di sebuah pasar raya di Kuala Berang pada Sabtu.
A
A
A

HULU TERENGGANU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sudah menerima permohonan untuk mengadakan jualan murah sempena Aidilfitri dari 12,278 premis perniagaan di seluruh negara setakat ini.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, permohonan tersebut diterima dalam tempoh 20 hari bermula hari pertama Ramadan iaitu 3 April lalu melibatkan jualan murah pelbagai kelengkapan persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Sebelum ini, peniaga perlu tunggu kelulusan selama tujuh hari untuk buat jualan murah tapi sekarang tidak lagi kerana jualan ini boleh terus diadakan selepas hantar notis kepada KPDNHEP dan pegawai kita akan pergi periksa macam biasa.

“Peraturan baharu ini sebagai kemudahan kepada peniaga,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di sebuah pasar raya di Kuala Berang di sini pada Sabtu.

Menurut Rosol, pemantauan oleh 2,200 penguat kuasa dan dibantu kira-kira 1,000 pegawai pemantau harga akan tetap diteruskan walaupun kelonggaran diberikan kepada peniaga bagi memastikan hak pengguna terjamin.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu meminta orang ramai supaya membuat aduan sekiranya ada peniaga cuba menipu atau manipulasi harga semasa mengadakan jualan murah sempena Aidilfitri.

“Kita akui adakalanya peniaga tampal harga baharu atas harga lama, selepas tiba di rumah baru pelanggan sedar harga lama lebih murah daripada harga baharu. Jika ini berlaku buat aduan dan sertakan bukti belian kepada KPDNHEP untuk kita buat siasatan.

“Peniaga yang melakukan kesalahan ini boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) 1997. Namun setakat ini kita masih belum menerima sebarang aduan,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, Rosol berkata, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah berlangsung kira-kira dua jam pada Jumaat.

“Hasil mesyuarat akan diumumkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!