Jawatankuasa Khas Kabinet ditubuh lindungi golongan rentan

Ismail Sabri (dua dari kanan) beramah mesra bersama dengan Bella ketika melakukan lawatan di Rumah Kebajikan di bawah seliaan JKM Negeri Sembilan pada Sabtu. - Foto Bernama
Ismail Sabri (dua dari kanan) beramah mesra bersama dengan Bella ketika melakukan lawatan di Rumah Kebajikan di bawah seliaan JKM Negeri Sembilan pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Jawatankuasa Khas Kabinet Melindungi Golongan Rentan ditubuhkan bagi melindungi kebajikan golongan rentan khususnya kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), wanita dan warga emas, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, jawatankuasa yang dipengerusikannya sendiri itu dianggotai Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM); Kementerian Dalam Negeri (KDN); Kementerian Pendidikan (KPM); Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT); Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Katanya, jawatankuasa itu akan memastikan semua pusat jagaan yang beroperasi diurus mengikut prosedur dan peruntukan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.

"Dalam hal yang sama, jawatankuasa ini juga akan melihat operasi institusi pengajian agama seperti pusat tahfiz yang tidak berdaftar dan yang tidak diurus dengan baik," katanya kepada pemberita.

Sebelum itu, Ismail Sabri melawat remaja perempuan sindrom Down dikenali sebagai Bella di Rumah Kebajikan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini.

Hadir sama Menteri KPWKM, Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Senator Datuk Ras Adiba Radzi.

Perdana Menteri berkata, jawatankuasa itu juga melihat isu berkaitan ketiadaan dokumen pengenalan diri yang boleh menjejaskan masa depan golongan kanak-kanak terlibat.

"Jawatankuasa ini juga akan melihat akta-akta lapuk yang dilihat perlu dipinda. Ini akan kita buat kajian supaya pembelaan dapat diberikan,” katanya.

Dalam lawatannya itu Ismail Sabri berkata, Bella dalam keadaan baik, mempunyai keyakinan diri yang tinggi dan boleh menguruskan dirinya sendiri dengan baik.

"Pada hari ini saya berpeluang untuk berjumpa dengan adik Bella di tempat yang selamat di bawah jagaan JKM, Bella ditempatkan di sini sejak 5 Julai tahun lepas.

"Dalam pemerhatian saya tadi, saya dapati emosi Bella dalam keadaan normal, tiada lagi gangguan emosi seperti ketika dia mula masuk ke sini. Malah kecederaan, luka dan sebagainya telah pulih," katanya.

Ismail Sabri berkata, Bella juga membawanya melawat bilik dorm di pusat jagaan itu serta memperkenal rakan-rakannya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan memandang serius kejadian yang menimpa Bella yang didakwa didera dan diabaikan sejak tahun 2020.

"Kes anak istimewa ini sedang dibicarakan di mahkamah dan semua pihak perlu menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan.

"Kejadian yang menimpa adik Bella ini merupakan salah satu daripada beberapa kes yang berlaku tetapi tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menasihatkan seluruh rakyat yang mengikuti perkembangan Bella agar memberi kepercayaan penuh kepada mahkamah untuk membuat penentuan dalam kes melibatkan remaja itu.

"Dalam kes Bella ini perkara ini telah dibawa ke mahkamah, oleh itu adalah sub judice kalau dibincangkan perkara itu secara terbuka, kita serahkan kepada mahkamah untuk membuat keputusan.

"Kalau kita terlampau memberi komen, kita boleh dianggap sebagai mengganggu perjalanan perbicaraan mahkamah dan dianggap sub judice,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, setakat ini terdapat 1,898 pusat jagaan berdaftar di bawah JKM dan daripada jumlah itu 1,255 adalah Pusat Jagaan Kanak-Kanak, Pusat Jagaan OKU (202), Pusat Jagaan Warga Emas (383), Pusat Jagaan Wanita (10) dan pelbagai (48).

Katanya kerajaan turut mengesan terdapat 1,025 pusat jagaan yang beroperasi tanpa mendapat kelulusan perakuan pendaftaran JKM.

Selain itu sebanyak 4,384 institusi pengajian agama yang berdaftar di seluruh negara termasuk 1,208 maahad tahfiz swasta dan 272 sekolah pondok dan madrasah.

"Bagaimanapun dilaporkan terdapat lebih 1,000 institusi pengajian agama termasuk pusat-pusat tahfiz tidak berdaftar dengan pihak berkuasa agama kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri," katanya.

Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak mahu insiden kebakaran yang meragut nyawa 21 pelajar dan dua guru di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Jalan Datuk Keramat, Kuala Lumpur pada 14 Sept 2017 dan kejadian kebakaran di Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah, di Kampung Padang Lumut, Yan, Kedah, yang mengorbankan 27 pelajar perempuan pada 1989, berulang.

"Bagi membendung kes penderaan dan kecuaian yang melibatkan golongan rentan ini, kerajaan menyeru seluruh Keluarga Malaysia agar lebih prihatin dan mengamalkan sikap ambil peduli dengan melaporkan kepada pihak berkuasa," katanya.

Ismail Sabri berkata, JKM juga akan distruktur semula agar lebih efisyen.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!