Mydin agih 2,000 bekas bubur lambuk
SUBANG JAYA - Rangkaian pemborong dan peruncit halal terbesar tempatan, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) mengagihkan 2,000 bekas bubur lambuk kepada komuniti Subang Jaya sebagai tanda menyumbang kembali kepada masyarakat setempat.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin berkata, program serahan bubur lambuk ini mendapat kerjasama dengan pembekal beras utamanya, Indra Valley dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) Subang Jaya.
Menurutnya, serahan bubur lambuk tersebut adalah sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporatnya iaitu Mydin Prihatin Syawal pada tahun ini.
"Mydin bekerjasama dengan pihak Indra Valley dengan membekalkan barang mentah, manakala Indra Valley menyumbangkan 80 kilogram beras untuk dijadikan bubur lambuk.
"Ia bukan sahaja diagihkan kepada pengunjung Mydin, malah agihan turut dibuat kepada komuniti seperti masjid, surau, Balai Polis Subang Jaya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya," katanya kepada Sinar Harian di Mydin USJ di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut tentang program Mydin Prihatin Syawal, Ameer Ali memaklumkan, sebanyak 5 sen hingga RM1 daripada pembelian barangan terpilih di Mydin akan disalurkan ke tabung dana program tersebut untuk membantu golongan yang memerlukan.
Ujarnya, dana tersebut akan dibelanjakan untuk pelbagai kegunaan seperti pembelian baju raya bagi golongan yang memerlukan dan sebagainya.
Hadir sama pada majlis serahan bubur lambuk ialah Pengarah Urusan Masyhur Ke Puncak Sdn Bhd, Jessica Supayah dan Ahli Parlimen Subang Jaya, Wong Chen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!