80 peratus pengemis di Kelantan penerima bantuan JKM

Mohamad (dua dari, kiri) menunjukkan ‘prop’ yang digunakan oleh pengemis di Kelantan yang ditahan menerusi Operasi Bersepadu JKM negeri di Pejabat JKM negeri pada Sabtu.
Mohamad (dua dari, kiri) menunjukkan ‘prop’ yang digunakan oleh pengemis di Kelantan yang ditahan menerusi Operasi Bersepadu JKM negeri di Pejabat JKM negeri pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Hampir 80 peratus pengemis dan peminta sedekah yang ditahan di Kelantan adalah penerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JKM Negeri, Mohamad Md Nor berkata, rata-rata mereka menjadikan lokasi tumpuan awam untuk melakukan kegiatan itu seperti sekitar hadapan bank, pekarangan Masjid Muhammmadi, Pasar Siti Khadijah dan Laman Hijau.

Katanya, antara alasan yang diberikan oleh mereka adalah disebabkan ingin mendapat wang tambahan selain untuk menampung kos rawatan disebabkan faktor kesihatan.

"Pihak kami ingin mengingatkan kepada orang ramai agar tidak tertipu dan berhati-hati ketika bersedekah dan menderma memandangkan hampir 80 peratus mereka yang ditahan adalah penerima bantuan bulanan JKM.

JKM turut melancarkan Kempen Bijak Membantu Elak Tertipu untuk menimbulkan kesedaran kepada orang ramai untuk memberi bantuan sewajarnya kepada pengemis dan peminta sedekah kerana kita mendapati terdapat segelintir daripada mereka mempunyai wang simpanan sehingga mencecah RM20,000,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pejabat JKM negeri, di sini, selepas menyertai Operasi Bersepadu Pengemis JKM bersama beberapa agensi termasuk Jabatan Imigresen dan Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB) dengan kekuatan anggota seramai 32 orang, pada Sabtu.

Mengulas lanjut mengenai operasi itu, Mohamad berkata, pihaknya telah menahan seramai 10 pengemis dan peminta sedekah membabitkan sembilan warganegara dan seorang rakyat Thailand yang berumur antara 50 hingga 77 tahun.

Katanya, menerusi operasi yang diadakan sejak 9.30 pagi hingga 2 petang itu, dua daripada pengemis yang ditahan dikenal pasti menggunakan dokumen palsu daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) untuk memohon sumbangan bagi surau dan masjid di negeri ini.

"Kami akan melakukan dokumentasi terhadap kesemua warga tempatan yang ditahan sama ada mereka akan dihantar ke rumah orang tua atau diberikan amaran keras termasuk dengan menandatangani Surat Aku Janji manakala bagi warga Thailand yang ditahan akan diserahkan kepada pihak Imigresen.

Kita juga tidak menolak kemungkinan, bilangan pengemis dan peminta sedekah ini akan bertambah terutamanya apabila memasuki tempoh seminggu sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri kerana lebih ramai yang akan memberi derma sambil bersedekah,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!