Elaun kenangan veteran ATM, Mindef tunggu keputusan kerajaan

Sebahagian veteran ATM yang berkerusi roda menunggu giliran untuk menerima penganugerahan PJM di Kota Bharu pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
Sebahagian veteran ATM yang berkerusi roda menunggu giliran untuk menerima penganugerahan PJM di Kota Bharu pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Kementerian Pertahanan menunggu keputusan rasmi kerajaan berhubung pemberian elaun kenangan kepada veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutama penerima Pingat Jasa Malaysia (PJM).

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata, kementerian terbabit sudah memohon kepada kerajaan untuk pemberian elaun tersebut tetapi buat masa ini kerajaan masih lagi pertimbangkannya.

“Saya dan Menteri Kanan Pertahanan memang selalu mengadakan perbincangan dan sudah memajukan perkara ini kepada Perdana Menteri serta berharap kerajaan untuk memberi elaun para veteran khususnya penerima PJM.

“Pihak kerajaan nampak agak positif tetapi kita kena tunggu keputusan rasmi mereka,” katanya selepas Majlis Penganugerahan PJM kepada 700 veteran ATM negeri Kelantan di sini pada Sabtu.

Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (dua dari kanan) kepada veteran ATM peringkat negeri Kelantan di Hotel Grand Renai di sini pada Sabtu. - Foto Sinar Harian

Mengulas lanjut, katanya pemberian elaun tersebut diberikan secara ‘one off’ kepada veteran ATM pada dua tahun lalu namun tahun lepas hanya diberikan kepada balu veteran ATM kerana kekangan kewangan.

“Kita akan lihat perkara ini secara berterusan agar veteran ATM mendapat elaun dan setakat ini seramai 207,000 veteran berdaftar dengan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM manakala lebih 100,000 belum mendaftar digalakkan supaya berbuat demikian untuk mendapatkan pelbagai manfaat di bawah jabatan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, katanya, penganugerahan PJM dilaksanakan mulai 3 Mac 2004 sebagai pengiktirafan kepada anggota tentera di atas sifat keperwiraan, keberanian, pengorbanan dan kesetiaan dalam menyumbang kepada kebebasan Malaysia daripada ancaman Komunis.

Barisan balu veteran ATM yang menunggu giliran untuk mewakili arwah suami masing-masing bagi menerima penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
Barisan balu veteran ATM yang menunggu giliran untuk mewakili arwah suami masing-masing bagi menerima penganugerahan Pingat Jasa Malaysia (PJM) pada Sabtu. - Foto Sinar Harian

“PJM turut dianugerahkan kepada anggota tentera atau bekas anggota tentera yang sudah meninggal dunia termasuk terbunuh ketika bertugas, cedera dan menjadi orang kurang upaya (OKU) kerana menentang Pengganas Komunis Malaya (PKM).

“Sehingga hari ini, seramai 29,821 warga veteran ATM dianugerahkan PJM manakala selebihnya mereka yang layak akan dianugerahkan secara berperingkat pada masa akan datang,” katanya.

Zubaidah Ahmad. - Foto Sinar Harian
Zubaidah Ahmad. - Foto Sinar Harian

Sementara itu, seorang balu veteran ATM, bekas Pegawai Waran 1, Zubaidah Ahmad, 62, berkata, berbangga mewakili arwah suaminya, bekas Koperal Ahmad Tarmizi Abu Bakar bagi menerima anugerah PJM tersebut.

“Arwah meninggal dunia akibat sakit jantung pada tahun lalu dan meninggalkan saya bersama lima anak.

“Saya sendiri sudah menerima PJM pada tahun 2016 dan kesemua anak-anak kami mengikut jejak langkah kami berkhidmat dalam ATM dan ATM mengalir dalam darah kami,” katanya.

Balu veteran ATM, Che Sharifah Mohd yang mengelap air mata hiba dan berbangga atas penganugerahan PJM kepada arwah suaminya. - Foto Sinar Harian
Balu veteran ATM, Che Sharifah Mohd yang mengelap air mata hiba dan berbangga atas penganugerahan PJM kepada arwah suaminya. - Foto Sinar Harian

Seorang lagi balu veteran ATM, Che Sharifah Mohd, 57, turut mengalirkan air mata kerana terharu dan berbangga terhadap pencapaian arwah suami, Koperal Mohd Nordin Mamat yang meninggal dunia akibat sesak nafas pada 13 Januari lalu.

“Sedih sebab suami tidak dapat merasa sendiri memakai PJM tetapi saya tetap berbangga dan akan mengantungkan pingat ini di rumah untuk kenangan serta tatapan anak cucu kami,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!