Menang PRN Johor tidak jamin BN menang PRU15: Hasni
JOHOR BAHRU - Kemenangan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan jaminan untuk gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, ini kerana situasi dan isu yang melatari PRN Johor serta PRU15 adalah berbeza sekali gus belum tentu momentum kemenangan BN pada PRN itu dapat dikekalkan.
"Kita anggap bila sampai PRU15 nanti, cabaran yang ada perlulah kita teliti kerana kejayaan PRN Johor tidak menjamin kejayaan pada PRU15," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Perhubungan UMNO Johor di Pejabat UMNO Johor di Jalan Yahya Awal di sini pada Sabtu.
Turut hadir Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merangkap Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam.
Dalam perkembangan sama, Hasni yang juga Pengerusi UMNO Johor berkata, parti tersebut kini menekankan persiapan dan cabaran bagi menghadapi PRU15.
"Kita lihat bahawa pada peringkat awal ini kita akan pastikan Ikhtiar BN dipantau dan ditetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) selain daripada Bajet Johor 2022, pelaksanaan (tunai janji Ikhtiar BN) sekiranya PRU15 berlaku pada tahun ini.
"Dengan adanya KPI dan pemantauan khusus, kita yakin akan dapat lebih bersedia hadapi cabaran PRU15 yang jangka diadakan tidak lama lagi," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, mesyuarat UMNO negeri pada Sabtu membincangkan dua perkara khusus iaitu pertama mengenai PRU15 dan kedua, usaha memperkukuh kerjasama strategik antara parti dan kerajaan.
"MB telah menyatakan komitmen dan kesediaan untuk menimbangkan dan akan ambil inisiatif untuk memastikan supaya hubungan kerjasama yang lebih strategik antara parti dan kerajaan akan terus dapat diperoleh dan dicapai," katanya.
Hasni berkata, satu jawatankuasa penyelaras hubungan kerajaan dan parti akan ditubuhkan yang akan dianggotai empat wakil UMNO Johor dan empat wakil kerajaan negeri yang berkemungkinan daripada kalangan Exco kerajaan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!