PRS sedia buat persiapan hadapi PRU15
SIBU - Parti Rakyat Sarawak (PRS), sebuah parti berasaskan kaum Dayak serta parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersedia membuat persiapan awal dan menggerakkan jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 yang dijangka diadakan tidak lama lagi.
Ketua Pergerakan Pemuda PRS, Datuk Snowdan Lawan berkata, pelaksanaan Undi 18 yang dilihat sebagai sesuatu yang positif, bakal menarik penglibatan secara aktif golongan muda daripada parti itu ke kancah politik arus perdana.
"Penyertaan aktif adalah dialu-alukan, masyarakat secara umumnya sekarang fokus kepada prestasi parti kita,” katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan Tritahunan (TDC) ke-5 PRS di sini pada Sabtu.
Persidangan yang dihadiri kira-kira 350 perwakilian dari seluruh Sarawak itu dirasmikan oleh Naib Presiden PRS, Datuk Majang Renggi yang juga pengerusi jawatankuasa pengelola persidangan.
Turut hadir Pemangku Presiden, Datuk Joseph Salang Gandum dan Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Seri Doris Sophia Brodie.
Snowdan berkata, Pemuda PRS akan terus memainkan peranan menyuarakan pandangan tentang isu keselamatan, perpaduan, integriti dan solidariti parti, sama ada menerusi media arus perdana atau media sosial.
Selain itu, beliau turut menafikan anggapan dan komen bahawa PRS tidak akan bertahan selepas presiden pertamanya Tan Sri Dr James Jemut Masing meninggal dunia pada Oktober tahun lepas.
"Kita sebagai anggota parti akan membuktikan (persepsi dan komen) mereka adalah salah,” tegasnya.
Sementara itu, Datuk Seri Doris berkata, parti itu menghadapi pelbagai ujian sejak 2019, antaranya pertukaran tiga kali perdana menteri dalam tempoh tiga tahun dan pemergian Masing yang telah meninggalkan impak besar kepada semua seluruh warga PRS.
"Namun demikian PRS dapat mempertahankan kesemua 11 kerusi dipertandingkan dalam PRN12 (Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12) dengan jayanya dan dengan kerja keras serta sokongan semua pihak termasuk akar umbi yang membolehkan segalanya berlaku,” katanya semasa berucap pada persidangan itu.
Menurut Doris, PRS juga amat menghargai serta mengiktiraf peranan, kehendak dan suara anak muda yang diterjemahkan melalui sokongan melaksanakan Undi 18.
Oleh itu, beliau berharap semua pihak sentiasa berganding bahu mendasari penglibatan belia pada peringkat akar umbi, agar impaknya lebih menyeluruh sebagai pembuat dasar serta penentu hala tuju parti itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!