Kipas, bumbung diterbang ribut


Adnan (tengah) Mek Chik (kanan) dan seorang penduduk menunjukkan bumbung rumah yang rosak dipukul ribut.
Adnan (tengah) Mek Chik (kanan) dan seorang penduduk menunjukkan bumbung rumah yang rosak dipukul ribut.
A
A
A

BALING - Sepasang suami isteri dari Kampung Tembak B tidak mampu berkata apa apabila melihat bumbung rumah termasuk kipas angin di siling hilang sekelip mata akibat diterbangkan ribut, petang tadi.

Kejadian ribut itu turut menjejaskan empat buah rumah lain di kampung itu dan 10 lagi kediaman di Kampung Paya Besar terjejas.

Mek Chik Husin, 54, berkata, kejadian itu berlaku sekitar jam empat petang dalam tempoh lima minit.

Menurutnya, ketika itu hanya dia, suami, Adnan Wanik, 53, dan cucu lelaki berusia tiga tahun berada di rumah.

“Cucu tengah tidur, saya dan suami tak tidur sebab bimbangkan angin yang kuat. Ribut tu tak lama, sekitar lima minit sahaja.

“Dalam masa itu, separuh daripada bumbung termasuk kipas angin diterbangkan angin.

“Bumbung yang baru dipasang di bilik tidur pun habis melayang,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Katanya, ribut turut merosakkan alatan elektrik di dalam sebuah bilik.

Artikel Berkaitan:

Adnan berkata, dia tidak sempat melaungkan azan kerana kejadian berlaku sekelip mata.

“Tak sempat azan, waktu tu kelam kabut sebab angin terlampau kuat. Terlupa habis. Tetapi alhamdulillah semuanya selamat,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian mendapati bumbung sebuah warung di Kampung Tembak B turut rosak dipukul ribut.

Beginilah keadaan sebuah rumah penduduk.
Adnan menunjukkan alatan elektrik rumahnya yang rosak.
Beginilah keadaan sebuah rumah penduduk. Adnan menunjukkan alatan elektrik rumahnya yang rosak.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, 15 buah rumah dilaporkan terjejas akibat ribut sejak jam tujuh petang tadi.

“Lima buah rumah di Kampung Tembak B dan 10 lagi di Kampung Paya Besar. Saya minta penghuni terlibat membuat laporan polis.

“Alhamdulillah, tiada sebarang kecederaan dialami semua keluarga terlibat,” katanya.

Beliau berkata, bantuan sewajarnya akan disalurkan bagi membantu mangsa namun JKM akan melakukan tinjauan dan siasatan terlebih dahulu.

“Esok JKM, Angkatan Pertahanan Awam, pejabat daerah dan Pejabat Penyelaras DUN Kuala Ketil akan mengadakan tinjauan serta siasatan di rumah-rumah yang terlibat,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!