Peluncur udara maut tersangkut atas pokok balak
HULU SELANGOR - Seorang warga Bangladesh yang melakukan aktiviti luncur udara (paragliding) maut selepas tersangkut di atas sebatang pokok balak ketika melakukan aktiviti berkenaan di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu di sini pada petang Sabtu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.56 petang dan bergegas ke lokasi kejadian.
Menurutnya, seramai tujuh orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu tiba di lokasi kejadian pada jam 5.02 petang.
"Mangsa, Mohammad Farhad Khalid, 44 yang merupakan warga Bangladesh tidak sedarkan diri ketika ditemui dan cedera patah kaki serta mengalami pendarahan.
"Orang Asli di kawasan itu bertindak memanjat pokok tersebut dan mengikatnya menggunakan tali paragliding untuk menurunkan mangsa bagi mengelakkan mangsa terjatuh ke bawah," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau berkata, bagaimanapun, pihak ambulans dari Hospital Kuala Kubu Bharu mengesahkan mangsa disyaki meninggal dunia semasa tersangkut di atas pokok tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!