Polis nafi tak beri rawatan terhadap seorang tahanan lokap

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor hari ini menafikan laporan sebuah portal yang mendakwa seorang tahanan tidak diberikan rawatan semasa berada di dalam lokap.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisiober Azman Ali berkata, lelaki yang ditahan pada 17 April lepas kerana disyaki terlibat dalam kes pembelian dan penjualan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) telah dibawa mendapatkan rawatan ketika berada di lokap Balai Polis Selayang, semalam.

"Semalam ketika suspek dalam tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah di lokap Balai Polis Selayang, orang kena tahan (OKT) telah mengadu demam dan bimbang jika ia adalah demam denggi atau gejala Covid-19.

"Ekoran itu, polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah menghantar OKT untuk mendapatkan rawatan di Hospital Selayang. Hasil laporan doktor mendapati OKT mengalami demam biasa dan diberikan ubat serta rawatan sewajarnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, OKT sebelum itu direman empat hari dan semasa dalam tempoh tersebut dia tidak mengadu demam atau sakit.

Dalam pada itu, Azman menegaskan pihaknya mempunyai bukti kukuh untuk menahan OKT bagi membantu siasatan kes penipuan yang telah dilaporkan oleh mangsa penipuan di Serdang, Shah Alam dan Gombak.

"Laporan yang menyatakan polis melakukan penahanan secara sewenang-wenang adalah tidak tepat,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!