JDT tekad sekat Kawasaki Frontale

Mora dan Farizal dalam sidang media di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu. - FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
Mora dan Farizal dalam sidang media di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu. - FOTO FB JOHOR SOUTHERN TIGERS
A
A
A

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) sekali lagi akan diuji berdepan kelab gergasi Jepun, Kawasaki Frontale dalam aksi Kumpulan I Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022 di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad.

Selepas kekal dengan rekod tanpa kalah dalam tiga aksi awal sebelum ini termasuk seri tanpa jaringan menentang Kawasaki Frontale pada Khamis lalu, JDT pastinya mahu meneruskan momentum sedia ada.

Pengendali JDT, Benjamin Mora berkata, anak-anak buahnya akan berusaha melangkah lebih jauh dalam penampilan keempat mereka di pentas ACL musim ini.

“Saya akui bermain pada perlawanan keempat dalam kejohanan ACL bukan satu tugas yang mudah kerana kecergasan pemain tidak berada dalam keadaan yang baik.

“Ini kerana mereka hanya ada masa yang singkat untuk memulihkan kecergasan masing-masing selepas beraksi dengan baik pada perlawanan sebelum ini.

“Namun, kami akan cuba sekali lagi memberikan aksi terbaik kerana kami mahu terus untuk mencipta sejarah dalam kejohanan ini,” katanya dalam sidang media pada Sabtu.

Penjaga gol JDT, Farizal Marlias pula berharap benteng pertahanan Harimau Selatan sekali lagi kebal mengekang asakan jentera serangan Kawasaki Frontale.

"Saya berharap momentum corak permainan yang mantap ketika aksi pertama (menentang Kawasaki Frontale) dikekalkan. Saya percaya rakan-rakan sepasukan sepakat untuk pamer aksi terbaik.

"Saya juga harus bersedia dengan corak permainan pasukan lawan yang mungkin akan melakukan rembatan bola dari luar kotak penalti selain hantaran lintang dari posisi sayap kiri dan kanan," ujarnya.

Untuk rekod, skuad Harimau Selatan gagal melepasi peringkat kumpulan sejak membuat penampilan sulung di pentas ACL pada edisi 2019.

Begitupun, JDT tampak memiliki peluang untuk meloloskan diri ke pusingan seterusnya pada edisi kali ini apabila menerajui Kumpulan I selepas mengharungi tiga perlawanan.

Jika JDT dapat mengutip mata penting dalam baki tiga perlawanan termasuk aksi menentang Kawasaki Frontale, bukan sesuatu yang mustahil buat mereka melakar sejarah tersendiri di pentas ACL.

Namun, laluan JDT tidak semudah yang dijangka kerana Kawasaki Frontale mula melaungkan keazaman untuk membenam Harimau Selatan, sekali gus merampas kedudukan pendahulu Kumpulan I.

“Selepas tamat perlawanan tempoh hari, pemain rasa sangat kecewa apabila gagal membawa pulang tiga mata setelah seri tanpa jaringan.

“Berada di tempat kedua dalam kumpulan tidak cukup buat kami untuk layak ke pusingan seterusnya. Jadi, kami wajib menang apabila berdepan JDT,” jelas pengendali Kawasaki Frontale, Toru Oniki.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!