Sewa hotel demi ‘beli-belah’ di Jalan TAR

Orang ramai mula membanjiri Jalan TAR seawal jam 10 pagi bagi membeli persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Orang ramai mula membanjiri Jalan TAR seawal jam 10 pagi bagi membeli persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) dan sekitar Masjid India sememangnya sinonim sebagai kawasan membeli-belah di ibu negara, lebih-lebih lagi ketika umat Islam menyambut Ramadan, seterusnya Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Pengunjung dari kepulauan Borneo seperti Sabah dan Sarawak dilihat sanggup membayar kos penerbangan, selain menginap di hotel berdekatan ibu kota tersebut semata-mata untuk mencari kelengkapan Hari Raya Aidilfitri.

Bagi Nur Alya Aisya Menggong, 31, yang berasal dari Kuching, Sarawak, dia sanggup membayar kos tambang penerbangan sekitar RM1,000 seorang asalkan memperoleh kepuasan untuk membeli-belah di sekitar Jalan TAR dan Masjid India.

NUR ALYA AISYA
NUR ALYA AISYA

Katanya, Sabtu merupakan hari keenam dia berada di sana dan boleh dikatakan hampir 100 peratus kelengkapan raya sudah selesai dibeli.

“Alhamdulillah, saya rasa sangat teruja dan gembira kerana ini kali pertama dapat merasai suasana membeli-belah di sini.

“Selain mempunyai kawasan yang strategik untuk membeli-belah, harga yang ditawarkan juga sangat murah dan berbaloi.

“Sebab itu, saya tak kisah membayar kos penerbangan kapal penerbangan yang sedikit mahal kerana apa yang lebih penting, ia dapat memberi kepuasan membeli-belah. Saya dapat apa yang diidamkan dan juga untuk keluarga,” katanya kepada Sinar Ahad.

Turut senada ialah Nazrin Sairan, 39, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah.

NAZRIN SAIRAN
NAZRIN SAIRAN

Menurut Nazrin, dia sanggup membuat tempahan hotel selama tiga hari dua malam sebanyak RM700 untuk dia sekeluarga mencari baju dan kasut raya di sini.

“Dari segi kos kapal terbang pula, kami peruntukan RM500 seorang, memandangkan kami telah membuat tempahan tiket lebih awal. Tiga bulan sebelum Ramadan,” katanya.

Mengulas lanjut, Nazrin dan keluarga lebih gemar membeli-belah di Jalan TAR di sini kerana harga yang jauh lebih murah, selain mempunyai pilihan cita rasa yang pelbagai.

“Pada masa sama, suasana membeli-belah di sini juga meriah. Berbanding Sabah, lokasi terhad dan sempit,” luahnya.

RAFIDAH
RAFIDAH

Bagi Rafidah Mat Noor, 43, pula, dia lebih gemar membeli-belah di sini kerana mudah untuk mencari kelengkapan raya.

“Selain itu, kawasannya mempunyai satu nilai ‘legend’ untuk orang lama seperti saya. Kalau orang baharu, mungkin tiada tarikan untuk dia,” katanya.

Ditanya mengenai kos perbelanjaan kapal terbang dan juga sewa hotel, Rafidah berkata, dia memperuntukkan lebih kurang RM1,500 untuk dua hari satu malam.

“Setakat ini, saya dah hampir 50 peratus selesai mencari kelengkapan raya. Disebabkan esok (Ahad) saya dah nak balik ke Sabah, saya harap semua barang yang hendak dibeli dapat diselesaikan hari ini (Sabtu),” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!