Penting baca, faham dan amal al-Quran dalam kehidupan
SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyokong penuh program World #QuranHour bertemakan ‘Dunia Bersujud’ yang akan berlangsung pada Selasa ini.
Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, program tersebut dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat bahawa pentingnya membaca, memahami dan mengamalkan al-Quran dalam kehidupan.
“Al-Quran boleh memberi nasihat dan teguran paling berkesan untuk menjadikan kita sentiasa memikirkan tentang kebaikan. Tanpa al-Quran, kita mungkin tidak mendapat panduan untuk menjadi lebih baik dan contoh teladan kepada orang lain.
“Justeru, untuk membumikan ayat al-Quran, pendekatan tadabbur boleh diketengahkan dalam masyarakat melalui pertandingan, selain membaca dan menghafaz al-Quran,” katanya kepada Sinar Ahad.Mengulas lanjut, beliau berkata, pihaknya turut menguar-uarkan World #QuranHour kepada semua agensi di bawahnya termasuklah 89 masjid, 123 surau Jumaat, 612 surau dan 75 Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ).
“Semua premis tersebut menekankan untuk mencintai al-Quran dan menjadikan ia sebagai asas dalam proses kemenjadian masyarakat,” katanya.
Ditanya pandangan mengenai surah Al-Sajdah sebagai surah pilihan pada program #QuranHour tahun ini, beliau berkata, ia membawa mesej penting untuk masyarakat bersujud, tunduk dan patuh kepada ALLAH SWT.
“Kita perlu menjadi orang bertanggungjawab untuk melaksanakan semua yang disarankan oleh ALLAH SWT agar kita menjadi insan lebih baik.
“Kemenjadian manusia mencapai kecemerlangan, ia bergantung kepada keizinan ALLAH yang Maha Mengetahui. Kadang-kadang kejayaan merupakan ujian, di mana hanya orang beriman yang memahami sifat kehambaan kepada ALLAH.
“Kita perlu memberi gambaran kepada orang lain bahawa semakin baik hubungan kita dengan ALLAH, sebenarnya ALLAH semakin dekat dengan kita,” ujarnya.
Sehubungan itu, Mohd Ajib menyeru kepada semua rakyat terutama masyarakat Islam memahami peranan masing-masing dalam mendepani pelbagai cabaran serta ujian di luar pengetahuan seperti Covid-19 dan banjir di luar musim.
“Umat Islam perlu kembali mengkaji dan meneliti apa yang berlaku dan menjadi al-Quran sebagai panduan. Apabila faham, kita akan menjadi lebih baik dan mengajak orang lain untuk berbuat kebaikan.
“Pada masa sama, apa yang berlaku adalah ketentuan ALLAH SWT dan manusia diminta untuk berusaha sebaik mungkin,” katanya.
JAWI sebagai rakan sinergi World #QuranHour turut menyediakan lokasi dan kemudahan khemah untuk tetamu di dataran Kompleks Pusat Islam, berhampiran TV Alhijrah, 26 April ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!