Cadangan LPPR dapat cegah aktiviti Ali Baba

Foto internet. - (Gambar kecil: Wan Ahmad Fauzi)
Foto internet. - (Gambar kecil: Wan Ahmad Fauzi)
A
A
A

SHAH ALAM - Cadangan buku Ulasan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) 2020 berhubung mempercepatkan penggubalan undang-undang berkaitan beneficial ownership (pemunya benefisiari) dapat mencegah penerusan aktiviti budaya Ali Baba, penyalahgunaan kuota bumiputera serta korupsi dalam negara ini.

Pakar perlembagaan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), Datuk Profesor Madya Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, saranan tersebut dapat menyelesaikan isu ‘proksi’ atau penama dalam sesuatu kepentingan yang bertujuan untuk memanipulasi undang-undang seperti tanah rezab Melayu serta kedudukan Istimewa di bawah Perkara 152.

“Dengan cadangan tersebut benefial ownership ini, perlu declare (umumkan) siapa pemilik yang sebenar atau dia bertindak bagi pihak siapa.

“Maka dengan cara ini akan ada ketelusan. Jadi cadangan ini amat baik dan patut dialu-alukan,” katanya kepada Sinar Ahad.

Pada Khamis, Pengerusi LPPR, Tan Sri Abu Zahar Ujang memaklumkan bahawa cadangan penambahbaikan yang kedua dalam ulasan LPPR ialah mempercepatkan penggubalan undang-undang berkaitan beneficial ownership untuk mewujudkan peruntukan baharu di bawah Akta 694 yang menghendaki sesuatu organisasi komersial atau mana-mana individu membuat pengisytiharan berhubung pemunya benefisial.

Bagaimanapun, Wan Ahmad Fauzi berkata, beberapa tatacara atau prosedur melibatkan penggubalan undang-undang beneficial ownership itu perlu dibuat dengan teliti.

“Saya sokong (dengan cadangan LPPR) tetapi peraturan dan tatacara untuk proses pendedahan hak itu kena jelas agar kelewatan untuk melakukan pendedahan tersebut tidak menafikan hak pemilik benefisial dan pewarisnya.

“Masa yang cukup dan prosedur sesuai perlu diperuntukkan untuk memastikan matlamat penggubalan tidak menimbulkan implikasi yang tidak wajar kepada pihak yang innocent (tidak bersalah).

“Perlu diteliti agar proses tersebut, jangan sampai membebankan pula kerana berlaku keadaan orang tua yang menamakan salah seorang anak untuk memudahkan tukar nama jika berlaku kematiannya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, budaya Ali Baba melibatkan aktiviti di mana peniaga Melayu menjual kontrak kerja kepada peniaga kaum lain untuk mengaut keuntungan segera.

Menurutnya, boleh jadi tindakan tersebut sememangnya dirancang awal kerana Ali Baba itu adalah ‘proksi’ yang ditaja untuk tujuan seumpama itu.

“Katakan kalau projek itu adalah projek bumiputera tetapi ada yang menggunakan nama Melayu untuk melobi dan mendapatkan kerja tersebut.

“Itu juga boleh disifatkan sebagai korupsi kerana ada unsur manipulasi,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!